Saturday 26 November 2011

Awal Muharram, Ma'al Hijrah?

Awal Muharram atau 1 haribulan Muharram setiap tahun adalah cuti umum di Malaysia. Adalah bagus jika ianya lahir atas keprihatinan kita supaya masyarakat sentiasa memperingati dan menyedari akan kewujudan kalendar Hijrah. Umumnya kita biasa menggunakan tahun masehi, hingga ramai juga yang lupa tahun ini tahun hijrah yang ke berapa.
Tetapi agak janggal bila 1 Muharram ini diraikan sebagai Ma’al Hijrah. Perlu diingatkan kembali bahawa peristiwa hijrah RasuluLlah tidak berlaku pada 1 Muharram, sebaliknya ia terjadi dalam bulan Rabi’ul Awwal. Seolah sudah terbiasa dalam masyarakat kita ini mengaitkan peristiwa hijrah dengan Awal Muharram, padahal ia tidak ada sangkut paut sama sekali. Semaklah dalam kitab sejarah mana pun, peristiwa hijrah itu dinyatakan berlaku dalam bulan Rabi’ul Awwal, dan berlaku khilaf tentang haribulannya secara tepat.

Thursday 24 November 2011

Erdogan Idola Baru


Apabila Perdana Menteri Turki, Reccep (baca Rashid) Tayyip Erdogan berkunjung ke Mesir, sambutan yang diterimanya sangat luar biasa. Rakyat Mesir berkumpul, melaung-laungkan namanya sambil menjulang gambarnya. Seolah-olah menyambut Presiden mereka sendiri. Situasi ini menggambar kepimpinan Erdogan disanjung tinggi masyarakat Islam khususnya rakyat Mesir, tentu disebabkan cara Erdogan menonjolkan wataknya dalam arena politik antarabangsa. Memang Erdogan kini muncul tokoh pemimpin Islam paling menonjol, melebihi Mahmoud Ahmedinejad dan para pemimpin lain.

Thursday 10 November 2011

Hari raya haji kini...

Setiap tiba hari raya Eidul Adha, keiniginanku untuk pulang beraya di kampung melonjak. Tapi apa boleh buat, hari raya qurban ni bukanlah diambil berat sangat oleh kerajaan. Cutinya cuma sehari, manakan sempat nak balik kampung. Walaupun suasana raya qurban, di kampungku, tidak lagi semeriah dulu, tidak seperti sewaktu zaman kanak-kanak atau remajaku, namun suasana meriah masih terasa. Kalau di bandar ni, suasananya suram. Di sini orang beraya tidak sampai separuh hari. Pagi solat sunat hari raya, lepas tu... masing masing  bawa diri. Ada yang sambung kerja. Tidak ada kunjung mengunjung. Tidak kuih muih seperti raya puasa. Pendek kata orang bandar ni tak raya haji.

Wednesday 9 November 2011

Koleksi Peribadi

2 bentuk cincin zamrud dan sebutir batu delima...












                                                                       Agak-agak, berapa nilainya?

Friday 14 October 2011

Timbang timbang, mana berat mana ringan..

Lebih kurang pukul 11 lebih pagi tadi aku lalu di hadapan masjid. Sudah rutin mengambil anak pulang dari Pasti. Masa ni masih terlalu awal untuk ke masjid. Ada sesuatu yang macam menarik pandanganku ke pintu pagar masjid. Ada 2 orang wanita di situ. Seorang sedang menunggu di atas motor, seorang lagi sedang berjalan ke perkarangan masjid. Oh, rupanya mereka datang untuk meletakkan pisang di masjid, sedekah untuk para jemaah yang nanti akan datang untuk bersolat jumaat. Bagus la kan.
Tapi yang tak sedap mata melihat, rupanya wanita yang sedang menunggu di motor itu tidak pun bertudung, selamba je dia dengan rambut bebasnya. Tak pasti pulak wanita yang seorang lagi tu, sebab dia dah masuk ke perkarangan masjid.
Rasa-rasanya, mana lebih utama, tudung kepala, atau beri sedekah pisang kat masjid?
Timbang timbangkanlah...

Sunday 9 October 2011

Pengukir Nama Johor...

Buku 'Pengukir Nama Johor' tiba-tiba jadi hot. Kalau dulu saya pernah nampak buku ni di kedai buku, saya tak terasa nak beli, sekadar belek belek je, tapi selepas heboh isu Mat Indera, saya terus mencarinya. Editornya adalah Abu Bakar A.Hamid dan Md. Ismail Zamzam, diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Buku ni mengumpulkan artikel tentang tokoh-tokoh dari Johor, dari pelbagai lapangan, antaranya terselitlah nama Mat Indera.

Wednesday 5 October 2011

Kenangan indah bersama Tok Guru...

Hati tersentuh bila melihat foto-foto Tok Guru Nik Aziz ni. Ada juga pemimpin yang pandai berlakon bila tahu fotonya dirakam, tapi bila lihat foto ni, memang jelas peribadi Tok Guru yang sebenar. Memang beliau tidak pandai meninggi diri, tidak pernah meletakkan dirinya lebih dari orang kampung biasa walaupun hakikatnya sudah 20 tahun lebih menjawat Menteri Besar.


Thursday 22 September 2011

Menilai Semula Sejarah (2)


Seringkali bila disebut sejarah kemerdekaan Tanah Melayu ini, maka nama Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman akan disebut sebagai tokoh yang memainkan peranan utama. Mereka berdua adalah pemimpin UMNO peringkat awal dulu. Bukan hendak dinafikan peranan mereka berdua, tetapi dijelaskan bahawa bukanlah mereka berdua sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan. Ada ramai lagi tokoh-tokoh lain yang sepatutnya disebut sama. Malah ramai tokoh-tokoh lain yang lebih ‘senior’, yang bergerak lebih awal dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Saturday 17 September 2011

Cincin koleksi peribadi...

Lagi koleksi peribadi yang sudah tidak serasi. Sudah sekian lama terperuk dalam kotak.


                                                                           Batu Jade
                                                         ikat perak bunga jawa
                                                                          saiz : 21/22

                                                                      
                                                                                      






Cincin nilam
-ada star
saiz : 20/21


 



Cincin kokka saiz 20/21

Friday 16 September 2011

Jihad Melawan Penjajah

             Perkataan jihad sering dipandang sinis oleh sesetengah pihak. Bukankah dalam sejarah bangsa kita yang belum begitu lama telah menyaksikan semangat menentang penjajahan, yang membariskan nama-nama seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Dol Said, Rosly Dhobi, Mat Salleh, Dr. Burhanuddin El-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan ramai lagi. Sebenarnya lebih ramai dari pejuang-pejuang tanah air kita ini pergi tanpa meninggalkan nama, tidak diketahui kisahnya, malahan namanya pun tidak dikenali generasi kini. Ternyata pengorbanan mereka itu bukan untuk mencari nama, pangkat, kedudukan dan ganjaran di dunia ini. Hanya Tuhan yang akan menentukan ganjarannya di akhirat nanti. Ditakdirkan juga nama-nama pejuang ini seakan tenggelam di kala negara diisytihar merdeka pada 1957. Muncul nama-nama seperti yang kita sering dengar sekarang disanjung sebagai para pejuang kemerdekaan. Lembu punya susu, sapi punya nama.

Cincin delima...

Untuk hidup bersama, perlukan keserasian. Jika keserasian sudah tiada lagi maka tunggulah detik perpisahannya. Begitulah lumrah hidup ini. Cincin ini adalah koleksi peribadi saya sejak sekian lama. Tapi hati saya sudah tawar, sudah sekian lama tidak disarung ke jari. Mungkin ia sendiri sudah berkecil hati, entahlah, saya sudah tidak pedulikannya lagi. Tidak cantikkah ia? Saudara tataplah sendiri...

Wednesday 14 September 2011

Muak dengan tv & surat khabar...

Rasa muak dengan media. Saya suka menonton berita di tv, minat untuk mendengar perkembangan semasa, nak tahu apa sedang berlaku dalam negara dan luar negara. Tapi bila tengok berita tv, ceritanya sama saja setiap hari. Berita untuk menghentam musuh politik kerajaan pemerintah. Kerajaan semua baik, parti pembangkang semua jahat. Begitulah seterusnya. Dengar tajuk saja, dah tahu apa yang mereka nak kata. Dalam sehari pulak tah berapa kali diulang-ulang tayang. Naik muak mendengarnya. Stesen tv di negara ni memang tak independent. Seolah-olah bekerja untuk parti pemerintah, seperti menjadi salah satu sayap dalam parti politik. Kita menginginkan saluran berita yang mengambil sikap tidak berpihak, melaporkan berita seadil-adilnya. Tidak bertujuan untuk memenangkan satu pihak, menghentam satu pihak lain.

Monday 12 September 2011

Terkenang Suatu Masa: Di dalam kelas...

Semasa tu saya masih belajar dalan tingkatan 4. Guru agama kami ialah Ustaz Salleh. Baik orangnya. Seingat saya masa tu ustaz minta siapa siapa yang rajin untuk tolong padamkan papan putih. Saya masa tu buat tak dengar je sebab bukan saya yang bertugas bersihkan kelas hari tu. Ingatkan ada la murid yang bertugas keluar untuk bersihkan papan putih seperti yang diminta ustaz Salleh. Rupanya takde siapa pun yang keluar ke depan. Tah siapa la malas sangat tu. Ustaz pun tercegat tunggu papan putih dibersihkan. Dalam saling berharap tu keluar la sorang murid ni. Kalau saya sebut nama dia dah tentu classmate semua akan ingat balik cerita ni... jadi saya tak sebut nama la ye. Yang semua tercengang sebab dia yang tolong padam papan putih ni bukanlah murid yang beragama Islam, dia seorang Kristian. Ustaz ucapkan terima kasih banyak banyak kepada murid tu. Saya yang Islam ni rasa sungguh malu dengan kejadian tu.

Friday 9 September 2011

Tak pernah dijajah?

Apalah malangnya professor  seorang ni. Beliau ni memang la dikenali sebagai pakar sejarah. Tapi komennya pasal negara ni tak pernah dijajah tak masuk dek akal. Kalau media arus perdana jenis yang adil, maka kenyataan itu patutnya sama kontroversi dengan kenyataan Mat Sabu tentang perjuangan Mat Indera. Tapi sebab kenyataan  prof tu dikeluarkan dengan niat untuk menyebelahi kerajaan maka ia takla disanggah apalagi untuk dikritik. Walaupun nampak macam bodoh kalau dikatakan negara kita ini tak pernah dijajah, tapi sebab ianya keluar dari mulut seorang professor yang sedia membela kerajaan, maka media perdana mencari justifikasi yang sesuai untuk sama-sama mengiyakannya. Media perdana tak takut langsung maruah mereka dipersenda semata-mata mahu mempertahankan pandangan prof. tu.

Sunday 4 September 2011

Pelarian Uygur dihantar pulang...

Tindakan kerajaan Malaysia menghantar pulang 11 orang pelarian Uygur amat-amat dikesali. Sebagai sebuah yang dimiliki oleh umat Islam dan sering diwar-warkan sebagai negara Islam contoh, apakah tidak boleh bertindak selari dengan status itu? Dengan alasan diplomasi G-to-G, maka kita gadaikan rasa persaudaraan sesama Muslim, tunduk kepada kerajaan China yang kita tahu telah melayan masyarakat Uygur dengan begitu teruk sekali. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia sepatutnya menggunakan haknya untuk melindungi pelarian Muslim Uygur ini, yang datang ke Malaysia untuk mencari suaka politik.

Thursday 1 September 2011

Fiqh Sunnah Sayid Sabiq


Fiqh Sunnah edisi Bahasa Melayu. Koleksi buku idamanku selama ini. Edisi Bahasa Melayu ni diterbitkan pada tahun 2009, tapi sebab kekangan bajet, maka hasrat tu terpaksalah ditangguhkan dulu. Dan sekarang… akhir milikku. Memang sejak kali pertama saya tengok buku ni di pesta buku PWTC dua tahun lalu, saya dah simpan angan-angan, suatu hari memang saya akan beli buku ni.


Fiqh Sunnah edisi Indonesia memang saya dah beli lama dulu. Ok jugak la. Bahasanya kira boleh faham lagi, tak susah sangat. Harga pun jauh lebih murah. Yang saya nak sangat beli edisi Bahasa Melayu ni sebab terjemahan bahasa Indonesia tu telah mengubah susunan perenggan dan struktur ayat dari kitab asalnya. Dalam erti kata lain. Ia telah disusun semula.

Menilai Semula Sejarah

Kita orang-orang Melayu memang kadang-kadang terdidik dengan nilai-nilai yang tidak berapa tepat dengan agama Islam. Saya terus beri contoh: Dulu Laksamana Hang Tuah menculik Tun Teja semata-mata untuk menunjukkan taat setia kepada Sultan. Pada masa itu Tun Teja sudah bertunang. Apa pendapat anda tentang peristiwa ni?
Hang Tuah tetap dianggap wira dan disanjung dalam masyarakat Melayu.
Kalau saya mengata Hang Tuah ini seorang yang tidak mempunyai pertimbangan yang tepat sebagai seorang Muslim, maka tentu nanti saya akan jadi kutukan masyarakat. Padahal perbuatan menculik itu jelas suatu kesalahan yang besar, tidak ada keraguan lagi. Apa pula perasaan tunang Tun Teja tersebut? Tapi gambaran yang diterima masyarakat ialah, tunang Tun Teja itu seorang yang tidak baik dan Tun Teja sendiri tidak menyukainya. Itu sekadar satu contoh.
Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, sememangnya pihak yang berkuasa pada suatu suatu masa mempunyai peranan dalam mencorak bentuk pemikiran masyarakat melalui bentuk penulisan dan sebagainya. Oleh kerana buku Sejarah Melayu ditulis untuk menaikkan imej sebelah pihak, maka melalui olahan cerita dan susunan bahasanya, maka terhasillah imej Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang taat setia dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan sultannya. Jangan salahkan sultan, mungkin dia pun tidak tahu menahu tindak tanduk laksamananya itu.
Oleh kerana media di dunia ini dikuasai oleh suatu pihak, maka peranannya ialah menunjukkan imej baik pihaknya dan memberi wajah yang hodoh kepada pihak yang dianggap saingannya. Dahulu kita dimomokkan tentang keburukan komunis. Melalui filem, media cetak dan sebagainya, kita disarankan untuk beranggapan komunis itu begitu buruknya. Bukanlah kita nak katakan bahawa komunis itu baik, tapi hakikatnya pihak yang mengaitkan komunis itu dengan bermacam tuduhan pun dua kali lima. Komunis menunjukkan keganasan untuk mencapai tujuan politiknya, maka apa kurangnya British yang datang menjajah tanah air kita ni? British tu baikkah? Jahat komunis kerana menyerang kepentingan British? Jahat Jepun kerana suka menampar orang? Bukankah lebih jahat British yang datang menjajah kita kemudian berpura pura baik. Bukankah ramai pejuang tanah air kita ini yang mati di hujung senapang askar British? Oleh kerana mereka yang menguasai media, maka digambar Tok janggut, Mat Kilau, Rosly Dhobi, Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ibrahim Yaakob, dan lain-lain sebagai pemberontak. Padahal mereka semua ini sanggup menggadai nyawa untuk menentang penjajah.
Apabila komunis tidak lagi berpengaruh selepas kejatuhan Soviet, maka blok Barat yang sekarang diterajui Amerika mahu tak mahu terpaksa mencari suatu kelompok lain untuk dijadikan sasaran mereka. Maka dipilihlah golongan Islam sebagai kelompok baru untuk dijadikan kambing hitamnya. Bermula usaha untuk memberikan wajah keganasan kepada negara-negara Islam. Negara-negara Islam terpilih dituduh sebagai penaja keganasan. Tuduhan yang sering diikuti dengan bukti-bukti palsu yang direka-reka. Iraq diserang cuma berdasarkan telahan liar memiliki senjata nuklear. Dimusnahkan secukupnya, walaupun tiada bukti yang sahih.  Begitu juga Afganistan. Negara yang terpaksa berjuang mempertahankan kedaulatan mereka ini pula yang dituduh pengganas, padahal yang bergerak menyerang dahulu adalah Amerika. Tapi di negara-negara Barat, berapa kerat sangat yang akan kata Amerika itu jahat? Itulah peranan media yang dikuasai oleh pihak yang memang berniat jahat.
Jesteru adalah satu kemestian untuk kita tidak menerima seadanya segala berita dan bahan sejarah tanpa perlu membuat penelitian yang secukupnya. Mungkin ada suara pihak lain yang sengaja dibisukan untuk menjaga kepentingan sebelah pihak. Sebagai seorang Islam adalah perlu bagi kita untuk mendengar hujah dari kedua-dua pihak sebelum membuat apa-apa keputusan, apalagi sebelum menuduh pihak tertentu sebagai pihak yang bersalah.

Friday 26 August 2011

Ustaz kena tengking...

Kisah ni berlaku di masjid berhampiran pagi hari minggu, minggu lepas.  Program biasa di masjid pada hari minggu ialah kuliah subuh. Sejak berlaku perubahan pentadbiran masjid (nazir dan lain-lain jawatan), memang ramai ustaz-ustaz yang sebelum ini belum pernah datang berkuliah di sini, dijemput. Bagi saya ini adalah suatu perubahan yang baik, menambahkan lagi peluang ahli qari'ah untuk menuntut ilmu. Ustaz-ustaz yang dijemput pula memang bukan calang-calang ustaz. Sambutan dari jemaah yang hadir juga nampaknya sangat baik. Masjid boleh dikatakan 'penuh'. Kali ni ustaz yang dijemput untuk menyampaikan kuliah subuh seorang ustaz muda yang masih menuntut di luar negara. Walaupun masih menuntut, tapi dari segi keilmuannya dan penyampaiannya, boleh tahan hebatnya.

Tuesday 23 August 2011

Jimat berbelanja, ingat insan yang tiada...

Memang jelas berjimat cermat adalah suatu amalan yang sangat sangat dituntut dalam agama Islam. Perumpamaan sebagai saudara syaitan adalah suatu gambaran yang jelas bahawa orang yang suka membazir dipandang hina dalam agama. Ya, orang yang suka membazir itu seperti saudara bagi syaitan. Adakah ke amalan tidak elok yang lain yang diumpamakan seperti saudara syaitan?
Persoalannya, apakah indikasinya atau apakah ukuran yang digunapakai untuk menentukan adakah seseorang itu membazir atau tidak? Seringkali yang kita dengar hanyalah seruan dari ustaz ustaz yang meminta kita berjimat dalam berbelanja, maka dibacakanlah hadis tadi, orang yang membazir itu saudara syaitan, tapi ramai yang tidak jelas sebenarnya, sampai ke tahap manakah maka seseorang itu boleh dikategorikan sebagai membazir lantas menjadi saudara syaitan itu? Kalau hendak membeli baju raya tu berapa helai yang dibolehkan? Kalau hendak membeli kuih raya, berapa banyak? Dan sebagainya….

Monday 22 August 2011

Kanak-kanak hukumnya bernajis?

          Entah dari mana muncul hukum “kanak-kanak yang belum bersunat (khitan) hukumnya bernajis”. Memang ada orang pernah sebut macam tu, tapi kalau kita tanya dia mana dalilnya, nasnya, apa sandarannya, apa hujahnya, bolehkah dia menjelaskannya? “Hukum” yang agak janggal ini pernah menimbulkan konflik di kalangan jemaah masjid. Ada jemaah yang membawa anaknya yang belum berkhitan untuk solat berjemaah, bersama dalam saf orang dewasa. Ada ahli jemaah lain yang menegur supaya anak itu dikeluarkan dari saf orang dewasa dan diletakkan di saf belakang. Natijahnya… bermasam muka la dua pihak tadi.
          Ada ke nas yang sahih yang menegaskan bahawa kanak- kanak yang belum berkhitan itu bernajis, sehingga perlu diletakkan signboard seperti dalam gambar tu? Betul ke kanak kanak itu akan menyebabkan jemaah dewasa yang bersentuhan dengannya akan terbatal solatnya? Atau terputus saf? Atau terbatal pahala saf?
Perlukah diwujudkan satu saf khusus untuk kanak-kanak di belakang saf orang dewasa? Kalau ada ustaz atau imam yang mengatakan bahawa di bawah “kulit” kanak-kanak itu ada najis kerana belum berkhitan, maka tanyakan, tidakkah di dalam perut orang dewasa juga ada najis. Maka orang dewasa juga hukumnya bernajis! Mana logiknya najis yang di bawah kulit dikira bernajis. Cuba tanyakan imam itu adakah batal solat orang yang bersentuhan dengan kucing? Tidakkah kucing itu tidak pernah istinja’? Maka kalau nak dipakai lojik tadi, kucing itu lebih bernajis dari kanak kanak.

Sunday 21 August 2011

Shopping dan solat...

Ramai yang mengambil peluang cuti hari Sabtu untuk keluar membeli belah, persiapan untuk menyambut hari raya nanti. Barangan tumpuan tentulah baju-baju raya untuk anak-anak. Rasanya rumit jugak memilih baju raya untuk anak-anak ni. Mula-mula nak pilih yang sesuai, cantik dan berkenan, nak bandingkan harga yang termampu, memilih saiz yang betul dan macam macam lagi. Akibatnya masa yang dihabiskan di pusat membeli belah itu jadi lebih lama daripada biasa. Kalau biasa membeli barangan dapur, masa dua jam untuk membeli banyak barang, tapi bila pilih baju raya ni, dalam dua jam tu baru berapa helai yang dapat dipilih, lebih lebih lagi yang punya ramai anak macam saya. Anak saya empat orang (ramai ke?).
Dari lebih kurang pukul 1 tengah hari, mencecah pukul 5 petang. 4 jam! Kalau saya datang sendirian tentu tak selama ni, tapi bab memilih baju ni saya surrender la, bagi jalan kat isteri. Dia yang lebih maklum. Ramai lelaki macam tu rasanya. Kita ni tukang angguk je.

Saturday 20 August 2011

Wirid dan doa...

Bukanlah saya ni pandai sangat tentang agama. Tapi bila lepas solat jemaah di masjid, mendengar imam masjid ni mengetuai wirid para makmum dan seterusnya membaca doa diaminkan oleh makmum semua, rasanya memang ada yang tak kena. Berwirid dan berzikir beramai-ramai ni ada yang kata bida’ah, tapi bagi saya takla sampai ke tahap tu kalau kita tahu hukumnya yang sebenar. Yang jadi bida’ah kalau kita beranggapan bahawa wirid dan doa beramai-ramai selepas solat itu memang sunnah Nabi s.a.w. Padahal Nabi s.a.w beriwirid dengan suara yang kuat itu semata-mata untuk mengajar sahabat sahabatnya bacaan wirid tersebut. Selepas itu baginda tidak lagi berwirid dengan suara yang kuat dan “memimpin” wirid para makmun seperti pak imam sekarang. Masing masing wirid sendirian. Kadang kadang selepas solat Nabi terus berpaling kepada para sahabatnya dan terus bercakap, tanpa wirid.

Thursday 18 August 2011

Sambung tentang kebersihan...


Sambung sikit cerita tentang kebersihan. Memang la semua tahu kebersihan sebahagian daripada iman. Jadi kesimpulannya yang tak jaga kebersihan tu macam mana? Kuranglah imannya kot? Entah la, anda tanyakanlah pada ustaz2 yang mengajar kat masjid2 tu. Anda rasa rasa perangai orang yang suka buang sampah merata rata ni sama tak perangai diorang di rumah dan di luar rumah? Kalau yang suka buang sampah kat pasar tu, sama tak suka buang sampah kat laman rumah mereka? Rasanya tak kot… Ada ke orang buang sampah kat laman rumah sendiri? Mana ada, kalau ada, memang teruk perangai macam tu. Jadi kesnya sekarang ni ialah sikap mementingkan diri sendiri dan tidak ada rasa tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Bagi mereka ni biarlah tempat tempat kotor janji rumah aku bersih.
Macam mana keadaan pasar berhampiran tempat anda? Bersih? Bagus la kalau bersih, kekalkan begitu. Semasa balik kampung baru baru ni saya sempat singgah di pasar berhampiran rumah mertua saya. Saya tengok longgokan sampah di kaki lima pasar tu. Betul betul depan parking. Tak ke mencacatkan pemandangan? Sebelum ni pun saya rasa memang macam tu keadaan di situ. Bukan la saya nak mengaibkan sesiapa, tapi cuba la kita sama sama muhasabah diri sikit. Elok ke perbuatan macam ni? Jangan la kerana ada orang Majlis Bandaran yang bertugas membersihkan sampah, maka kita buang kat situ cukup cukup.  

Tuesday 16 August 2011

Kebersihan sebahagian daripada iman...

Dalam suatu perjalanan anda rasa perlu ke tandas, maka anda pun carilah tandas awam yang ada tepi jalan. Biasalah, sama ada tandas pam minyak, masjid atau surau, ataupun di hentian rehat terdekat. Masuk je tandas tu anda rasa nak termuntah! “Ya Allah teruknya tandas ni”.
Tentu ramai dari kita yang pernah lalui pengalaman macam tu kan? Maaf saya cuma buat andaian, tapi itulah yang saya sendiri alami, tapi sekarang saya takla terkejut sangat kalau termasuk dalam tandas yang teruk macam tu sebab dah bersedia dari segi mental. Tandas awam yang terlalu kotor sudah jadi macam lumrah dalam masyarakat kita. Mari kita perincikan satu satu:

Monday 15 August 2011

Jamuan makan di gereja...

Memangnya banyak keranah bila berurusan dengan mana-mana jabatan agama negeri atau institusi yang menguruskan zakat. Anda percaya tak? Cubalah sendiri pergi ke sana dan cuba tanyakan mana-mana pegawai di situ. Memang ‘A’ la kalau dapat terus jumpa mereka tanpa sebarang masalah. Rungutan seperti ini sudah jadi lumrah dalam masyarakat kita, dengan bahasa mudah: semua orang dah tahu. Bukan kita sengaja nak memburukkan mereka, tapi pihak yang terlibat ni cuba la renungkan balik macam mana khidmat anda selama ni. Cuba la sediakan borang kaji selidik untuk dapatkan maklumbalas dari orangramai yang pernah datang mendapatkan perkhidmatan di kaunter anda. Apakah maklum balas kebanyakan orang nanti? Sesiapa yang pernah atau selalu berurusan di sana tentu sudah ada jawapan anda sendiri. Apakah respon anda?

Merdeka Tertangguh

Pada malam 31 Ogos 1957, semua jalan menuju ke Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka sekarang) penuh sesak dengan kenderaan.  Padang itu telah dipenuhi orang ramai, begitu juga jalan-jalan telah penuh. Kira-kira sejam sebelum berlakunya penurunan bendera Union Jack di situ, jalan-jalan berdekatan telah “jem” sepenuhnya.  Mengikut jadualnya, tepat pukul 12 malam, bendera Union Jack akan diturunkan oleh tiga orang Pemuda UMNO dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang hampir serupa dengan bendera Amerika.

Qiyamulail di Masjid...

Bulan puasa sudah kira separuh. Sudah 2 minggu kita berpuasa. Sudah 2 minggu jugak umat Islam yang rajin ke masjid bersolat tarawih, suatu amalan sunat yang orang-orang kita amat suka, alhamdulillah.
Tengah malam hari minggu (semalam), jemaah masjid dekat rumahku mengadakan qiyamulail & solat tasbih. Solat sunat tu bagus dan saya respect mereka yang rajin melakukannya. Tapi saya rasa tak perlu la imam yang mengetuai solat sunat tu pakai mikrofon yang boleh didengar sekeliling kawasan masjid ni, segala bacaaan dalam solat dan zikir-zikir kuat kedengaran tengah malam tu. Apa la faedahnya? Tidak itu akan mengganggu orang lain yang tidak ikut serta, anak-anak kecil yang perlu cukup tidur, mungkin ada orang-orang sakit dan tua yang perlu cukup rehat, kalau tidak pun memikirkan jiran-jiran yang bukan Islam. Sudah dua kali hari minggu program itu berlaku di masjid. Bukankah cukup imam memakai mikrofon yang terhad untuk dalam masjid sahaja? Kenapa kita mahu suara kita berzikir di tengah malam didengari ke sekeliling kampung?
Saya tidak meragui niat suci mereka yang datang berjemaah qiyamulail itu, tetapi rasanya imam itu perlu lebih menyelidiki tentang pemakaian mikrofon itu supaya amalan yang mulia itu (solat) bertepatan dengan sunnah nabi Muhammad s.a.w.
WaLlahu'alam

Hidupku begini, hidupmu?

Apakah dengan gaji kurang dari RM3000 sebulan, maka bemakna kita akan hidup bergantung kepada hutang? Beli kereta, bayar loan rumah, bil-bil setiap bulan, keperluan dapur, persekolahan anak-anak, bayar pengasuh anak dan lain-lain. Semalam saya beli baju raya anak-anak dan anak buah, wow! terkejut, RM300++. Itu bukannya berapa helai sangat. Betapa rendahnya nilai duit sekarang. Cukupkah saudara ke pasar malam berbekalkan RM50? Kalau niat nak beli barang dapur dengan RM50 tu apalah sangat yang boleh dibeli. Inilah tekanan hidup yang terpaksa dilalui oleh golongan berpendapatan rendah seperti saya. Setiap perbelanjaan mesti difikirkan berulangkali. Bukan sahaja barang yang kurang perlu mesti dilupakan, kadang-kadang yang memang diperlukan pun terpaksa dilupakan. Mana yang boleh dipotong, potong saja. Saya baru je potong Astro, yang baru naikkan harga pakejnya. Walaupun minat sangat nak tengok bola dan sukan-sukan lain di saluran ESPN, StarSport dll, tapi terpaksa potong untuk jimat belanja bulanan. Lebih kurang setahun lepas apabila anak saya yang ke-4 lahir, saya pasang aircond memandang cuaca masa tu sangat panas, sekarang ni kena hadkan berapa jam on aircond, biasanya 2-3 jam je sehari, kalau tidak bil letrik akan melambung.
Bulan puasa ni mungkin belanja makan sehari jimat sikit. AlhamduliLlah. Mungkinkah elok jika kita teruskan juga berpuasa dalam bulan-bulan lain? Supaya jimat belanja.  Ya, puasa 2-3 hari seminggu, kurang2 hari Isnin dan Khamis. Tu kan sunnah nabi. Dapat pahala lagi... amacam? Tu cadangan je.. Ke korang memang dah sedia puasa hari Isnin Khamis? Bagus la kalau gitu...
Jimat bulan puasa ni di'balance'kan dengan belanja untuk hari raya. Jadi kira-kiranya sama la jugak. Duit habis buat persiapan raya pulak. Walaupun dah kira berjimat, tapi habis la jugak gaji. Nasib baik jugaj kerajaan sudi bagi bonus raya untuk kakitangan awam, tu pun setengah bulan gaji, nak kira cukup, mana cukup, tapi kira ok la, syukur.

Lambatnya rasa menunggu setahun lagi, masa tu hutang kereta dah habis, mungkin rasa lega sikit. Atau mungkin masa tu harga gula, minyak kereta, minyak masak, bil api, bil air dan lain-lain semua dah naik lagi?

Saturday 6 August 2011

Jalur Gemilang

Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan setiap tahun, lazimnya dapatlah kita lihat bendera Jalur Gemilang dikibar di tiang-tiang dan berjuntaian dari bangunan-bangunan. Sekali imbas bendera Malaysia akan kelihatan seakan-akan bendera Amerika Syarikat yang sudah tua itu. Jalur merah putihnya serupa cuma dengan bilangan yang berbeza. Jalur Gemilang ada 14 jalur merah putih sementara bendera Amerika kurang satu jalur. Di sudut atas bendera Amerika ada 50 bintang yang mewakili 50 buah negeri yang membentuk Amerika Syarikat. Manakala di sudut atas bendera Malaysia ada bintang dengan 14 bucu, juga simbol bilangan negeri-negeri yang ada dalam Malaysia.

Monday 1 August 2011

Menjelang Merdeka

Pertubuhan politik  pembangkang pertama di Tanah Melayu ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM), ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua untuk memperjuangkan kemerdekaan melalui gabungan dengan Indonesia. Aktivis KMM terdiri dari lulusan institusi pengajian tajaan penjajah British seperti Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim, Kolej Pertanian Serdang (kini UPM) dan Sekolah Teknik Malaya di Jalan Gurney (kini UTM). Antara tokoh terkenal ialah Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussain, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.
Mereka ini sebenarnya adalah penjawat awam dalam kerajaan penjajah tetapi pada masa yang sama bergerak aktif dalam KMM. Mereka disyaki bekerjasama dengan pihak Jepun untuk menjatuhkan penguasaan British dan akhirnya telah ditangkap. Musuh British pada ketika itu ialah negara-negara Paksi (Axis) yang terdiri dari Jerman, Itali dan Jepun.
Hakikatnya ialah KMM bukanlah pro-Jepun tetapi cuba mengambil kesempatan dari keadaan politik dunia masa itu untuk menuntut kemerdekaan, seperti yang dilakukan oleh Sukarno di Indonesia dan Chandra Bose di India. Realiti politik pada masa itu, kedudukan British terlalu kuat untuk dikalahkan secara bersendirian oleh anak watan Tanah Melayu.

Friday 29 July 2011

Makan di gereja...

Memangnya banyak keranah bila berurusan dengan mana-mana jabatan agama negeri atau institusi yang menguruskan zakat. Anda percaya tak? Cubalah sendiri pergi ke sana dan cuba tanyakan mana-mana pegawai di situ. Memang ‘A’ la kalau dapat terus jumpa mereka tanpa sebarang masalah. Rungutan seperti ini sudah jadi lumrah dalam masyarakat kita, dengan bahasa mudah: semua orang dah tahu. Bukan kita sengaja nak memburukkan mereka, tapi pihak yang terlibat ni cuba la renungkan balik macam mana khidmat anda selama ni. Cuba la sediakan borang kaji selidik untuk dapatkan maklumbalas dari orangramai yang pernah datang mendapatkan perkhidmatan di kaunter anda. Apakah maklum balas kebanyakan orang nanti? Sesiapa yang pernah atau selalu berurusan di sana tentu sudah ada jawapan anda sendiri. Apakah respon anda?

Tuesday 19 July 2011

Kenali Islam Melalui Qur'an



Semua mengenali Jodie Foster, aktres Hollywood tersohor seluruh dunia. Sebagai bintang filem, kehidupannya tentulah dilingkungi kemewahan yang melimpah, yang turut sama dirasai ibunya. Di sebalik kehidupan penuh glamor itu ibu Jodie Foster ini sebenarnya sentiasa merasa tidak tenteram dan dihimpit banyak permasalahan hidup sehingga pada suatu masa dia hampir membunuh dirinya.

Wednesday 15 June 2011

Tok Ayah Haji Taib Seberang Pasir Mas

Haji Taib Seberang Pasir Mas  atau lebih masyhur dengan gelaran Tok Ayah Haji Taib, seorang guru agama, qari dan pendekar terbilang pada zaman pemerintahan Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV (1920-1944). Nama penuh tokoh yang tersohor gagah serta gemar mengembara cari ilmu ini ialah Haji Muhammad Taib Bin Abdul Rahman Bin Tok Tama, berasal dari Patani. Beliau dikatakan pernah belajar di Mekah, bersama dengan Tok Kenali, juga menuntut di Patani  dengan bergurukan  Tok Semla, tokoh ulama di situ.

Sunday 15 May 2011

Apa itu Talasemia/Thalassemia

Sekadar fakta ringkas.
Bukanlah saya seorang doktor perubatan, tetapi dengan merujuk kepada sebuah majalah kesihatan inilah yang dapat saya kongsi bersama:

Apa itu Talasemia?
Ia berasal dari perkataan Greek, thalasanemia yang bermaksud anemia berhampiran laut. Talasemia merupakan sejenis penyakit darah yang diwarisi kerana ketidakupayaan tubuh menghasilkan hemoglobin. Hemoglobin ialah sejenis protein yang terdapat dalam sel-sel darah merah yang membawa oksigen dan zat makanan ke seluruh tubuh.  

Tuesday 5 April 2011

PKMM


Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan selepas zaman penjajah Jepun. Ia juga dikenali sebagai Parti Nasionalis Melayu (PNM) atau Malay Nationalist Party. PKMM telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945  di Ipoh, Perak. Penubuhan PKMM bertunjangkan matlamat utamanya iaitu memperjuangkan kemerdekaan penuh bagi Semenanjung Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan kerajaan British. Dengan itu slogannya ialah “Merdeka” dan benderanya berwarna merah putih. Selain itu PKMM juga turut berjuang untuk meningkatkan pencapaian orang-orang Melayu dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi selaras dengan kedudukan bangsa Melayu sebagai bumiputera di negara ini.

Wednesday 9 March 2011

Rosli Dhoby

Rosli Dhoby berketurunan Melanau dilahirkan pada 1932 di Sibu, Sarawak. Pada usia yang masih begitu muda Rosli Dhoby telah menyertai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang dibentuk untuk menentang penjajahan keluarga Brooke di Sarawak. Sarawak dikuasai oleh keluarga Brooke bermula tahun 1842 iaitu Sir James Brooke, kemudian anak saudaranya Sir Charles Brooke dan selepas itu anak Charles iaitu Sir Charles Vyner Brooke. Penjajahan keluarga dari British ini berlangsung kira-kita 100 tahun sehingga mereka dikalahkan oleh Jepun pada tahun 1941. Walaupun telah tewas kepada Jepun, tetapi Charles Vyner mahu menyerah Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas perang pada tahun 1945.

Monday 7 March 2011

Kerana Tidak Ada Kelas 4!

Mungkin kerana sejarah agak prejudis terhadap Islam, maka kehebatan Muhammad Ali Jinnah, pemimpin Islam dari Pakistan ini seolah-olah dipinggirkan. Padahal dia yang mempelopori tindakan jihad, seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w, melaksanakan hijrah besar-besaran dari India yang masyarakatnya sangat terpengaruh dengan peninggalan penjajah yang memecah belahkan bangsa hanya kerana berbeza agama. Untuk mengelakkan  pertumpahan darah berterusan, maka umat Islam dari India berduyun-duyun pindah ke sebuah wilayah yang kemudiannya dinamakan Pakistan.

Sunday 6 March 2011

Tok Kenali

Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat ketika itu untuk memberi gelaran kepada seseorang tokoh bernisbahkan kepada tempat asalnya. Tok Kenali mendapat nama panggilannya dari kampung kelahiran beliau iaitu Kampung Kenali di Kubang Kerian, Kelantan dengan nama sebenarnya Muhammad Yusof bin Ahmad. Tahun kelahiran beliau adalah sekitar tahun 1870 M bersamaan 1287 H.
Beliau mula diasuh dengan pengajian al-Quran dan diajar menulis dan membaca oleh datuknya sendiri Tok Leh, sebelum terus mengikuti pelajaran agama di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Oleh kerana bapanya meninggal ketika Muhammad Yusof berusia 5 tahun, maka dia dijaga dan diasuh oleh datuknya. Oleh kerana beliau adalah seorang yang cerdik maka Muhammad Yusof dapat menguasai ilmu tulis baca dengan cepat dan telah dilantik oleh penggawa untuk membantunya menjalankan kerja-kerja pengkeranian dalam usia kira-kira 7 atau 8 tahun.

Saturday 5 March 2011

Belajar Dari Sejarah

Keadaan buruk yang melanda masyarakat di dunia jelas berpunca dari kepincangan yang ada pada pihak pemerintah. Sama ada barisan pemimpin yang bergelumang rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan untuk mengekalkan  tampuk kuasa. Memang kelemahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh sesiapa, namun rakyat tentulah dapat menilai apakah pemimpin mereka bersungguh-sungguh mahu memperbaiki kelemahan yang ada, atau hanya pandai beretorik semata-mata, pada masa yang sama menikmati pelbagai kemewahan di atas kesempitan rakyat. Bolehkah rakyat mempercayai slogan-slogan kerajaan mahu mengutamakan kebajikan rakyat, yang sentiasa dialunkan melalui media-media, tetapi realitinya rakyat semakin tertekan dengan pelbagai kenaikan harga barangan harian dan kos sara hidup yang hampir tidak tertanggung hatta oleh rakyat kelas pertengahan (middle class). Bagaimana pula nasib golongan miskin?.

Thursday 24 February 2011

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Bapanya Imam Rasu atau dikenali  sebagai Tok Gajah adalah seorang pendekar terkenal yang pernah berkhidmat untuk Sultan Ahmad, Sultan Pahang ketika itu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Namun ada juga yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan lebih awal dari itu iaitu pada tahun 1847.

Wednesday 23 February 2011

Islam di Bulgaria

Usaha penghapusan terhadap umat Islam di Bulgaria sudah berlangsung sejak tahun 1876 apabila golongan nasionalis melancarkan pemberontakan anti-Turki dan anti-Muslim. Kesempatan itu telah diambil oleh Rusia untuk menduduki daerah-daerah Balkan yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam Turki pada masa itu. Selepas itu Bulgaria dilepaskan dari pentadbiran Turki apabila perjanjian damai ditandatangani di San Stefano, berhampiran Istanbul.

Saturday 19 February 2011

Leftenan Kolonel Zulkifli Awnie

Pernah dengar nama Zulkifli Awnie? . Beliau adalah pegawai memerintah tentera Medan, Indonesia, dengan pangkat Leftenan Kolonel Zulkifli Awnie. Jadi apa kena mengena nama ini dengan kita rakyat Malaysia? Walaupun ramai yang tidak mengenalinya malahan tidak pernah mendengar namanya, namun beliau sebenarnya merupakan satu tokoh penting yang terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara kita. Ya, beliau berasal dari Malaysia, dilahirkan di Bekor, Daerah Manung, Perak.

Wednesday 16 February 2011

Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong

Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid dilahirkan pada 1285 H bersamaan 1868M. Beliau yang berdarah campuran Pattani dan Terengganu, mendapat pendidikan asas Islam sejak kecil di Mekah. Apabila pulang ke Terengganu, beliau masih meneruskan pengajiannya bergurukan ulama-ulama terkenal antaranya Sayed Abdul Rahman Sayed Muhammad al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

Monday 14 February 2011

Maulidur Rasul 12 Rabi'ul Awal?

Telah menjadi kelaziman di negara ini menjelang 12 Rabi’ul Awal setiap tahun, sambutan Maulid Rasul menjadi agenda penting malah tarikh itu telah ditetapkan sebagai cuti umum. Di sebalik kecintaan tidak berbelah bahagi kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w, kita seharusnya berpegang kepada sandaran yang kukuh dalam setiap amalan beragama kita supaya apa juga ibadat yang kita lakukan bertepatan dengan ajaran baginda.

Sunday 13 February 2011

Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah

Tok Guru Haji Lah adalah kesinambungan kepada deretan nama-nama ulama hebat yang pernah dilahirkan di Kelantan. Beliau dilahirkan 10 November 1933 di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Ayahnya Tok Guru Haji Abdul Rahman juga seorang ulama yang terkenal. Beliau berguru dengan ayahnya sehingga tahun 1953. Kehebatan ilmu dan bakatnya telah terserlah, di mana Tok Guru Haji Lah telah khatam al-Quran pada usia 9 tahun. Pada usia lebih kurang 20 tahun beliau telah melanjutkan pengajian secara talaqqi di Masjdil Haram, Mekah, bergurukan ulama-ulama terkenal, antaranya Pakda Eil, seorang alim Melayu yang mengajar dan menetap di Mekah.

Friday 11 February 2011

Mengawal Kolesterol Secara Semulajadi

Penyakit jantung merupakan salah satu penyebab kematian utama bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Faktor-faktor risiko penyakit jantung termasuklah paras kolesterol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan tabiat merokok.


Kolesterol merupakan sebatian berlemak, juga dikenali sebagai lipid, yang beredar melalui darah. Ia diperlukan untuk pelbagai fungsi badan yang penting seperti pembinaan membran sel, penghasilan sesetengah jenis hormon, sintesis vitamin D dan penghadaman lemak dalam badan.

Wednesday 9 February 2011

Cikgu Kadio :Kisah Cikgu Zaman Dahulu

Abdul Kadir bin Saad dilahirkan kira-kira tahun 1876(mungkin tidak tepat). Oleh kerana beliau dilahirkan di Perak dan kemudiannya menjadi guru sekolah, maka beliau dipanggil Cikgu Kadio. Dari mula bertugas sehinggalah bersara pada tahun 1930-an, Cikgu Kadio mengajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut Setiawan, Perak.


Apabila menjadi guru besar, Cikgu Kadio tidak lagi mengajar. Beliau ke sekolah dengan sebilah parang terselit di pinggangnya dan di belakang basikalnya ada segulung tali. Tugasan pertamanya setiap pagi ialah memeriksa buku kehadiran murid, memastikan murid yang tidak hadir pada hari itu. Selepas mendapatkan nama murid yang tidak hadir, Cikgu Kadio akan keluar keliling kampung untuk mencari murid tersebut.

Monday 7 February 2011

Valentine's Day

Asal usul Hari Valentine (Valentine’s Day)
Valentine adalah nama seorang paderi Kristian Katolik pada abad ke-3 Masihi yang telah dimuliakan orang-orang Kristian Katholik dan telah diberi gelaran Saint.

Kisahnya bermula ketika Raja Claudius II (268 - 270 M) melarang para askarnya dari berkahwin kerana bimbang askar-askarnya tidak akan dapat berkhidmat dengan baik jika berkahwin. Perintah raja itu tidak dipersetujui oleh dua orang paderi, Saint Valentine dan Saint Marius, yang mana mereka telah menikahkan askar-askar raja dengan pasangan mereka masing-masing secara senyap-senyap. Perbuatan mereka berdua akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Claudius II, akibatnya kedua-dua saint itu telah dijatuhkan hukuman mati.