Beliau giat mendidik masyarakat Hulu Terengganu dalam pelbagai disiplin ilmu berpandukan kitab-kitab Ajrumiyah, Tahrir, Hidayatus Salikin, ad-Durr an-Nafis, Mutammiman, Tashil Naik al-Amani, Matn Ummul Barahin, tidak ketinggalan kitab-kitab berbahasa Melayu seperti Faridatul Fara’id dan ad-Durr ats-Tsamin. Kesungguhannya memberi pelajaran dan membantu masyarakat telah menaikkan martabatnya dan menjadikan beliau seorang yang berpengaruh khususnya di kalangan rakyat di Hulu Terengganu.
Selain giat mengajar, beliau suka mengembara mencari pengalaman, berniaga atau untuk mengembangkan syiar Islam. Beliau pernah merantau ke Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei. Dengan menggunakan perahu besar buatan tempatan, biasanya beliau belayar ditemani oleh murid-muridnya sendiri.
Kebolehan Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong tidak terbatas kepada ilmu-ilmu agama sahaja. Beliau pernah menunjukkan kehebatannya berhujah apabila beliau dilantik menjadi peguam untuk membela rakyat yang disaman oleh pemerintah Inggeris.
Undang-undang Cukai Tanah yang mula dikuatkuasa pada 1920an, yang mengenakan cukai 40 sen bagi setiap ekar tanah menjadi bibit pertama penentangan terhadap British khususnya di lokasi Kuala Telemong hingga Ulu Telemong. Selain itu rakyat dilarang menebas hutan untuk menanam padi huma meskipun ianya telah menjadi satu aktiviti pertanian turun temurun. Pada tahun 1928, 30 orang petani telah dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda sebanyak $5.00 setelah didapati bersalah menebas hutan tanpa lesen. Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan bantuan dari Tok Guru Haji Abdul Rahman. Beliau dalam hujah-hujahnya di mahkamah menegaskan bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri dan adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka. Hujahan inilah yang menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk menentang campur tangan British di Terengganu.
Rentetan dari itu masyarakat Hulu Terengganu telah melancarkan serangan ke atas balai polis Kuala Berang pada 22 Mei 1928 dan pertempuran sehari selepas itu di Padang Kachong menyaksikan 12 orang pejuang telah mati ditembak sepasukan polis.
Perbicaraan pada 11 Jun 1928 telah menjatuhkan hukuman penjara dan kerja berat ke atas 10 orang yang terlibat peristiwa penentangan di Hulu Terengganu. Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong sendiri telah ditangkap dan dibuang negeri ke Singapura dan selepas itu dibuang ke Mekah. Dalam propagandanya, pihak British mengumumkan telah menghantar Tok Guru Haji Abdul Rahman ke Mekah, kononnya untuk mengaburi mata rakyat Terengganu, padahal apa yang berlaku sebenarnya adalah pembuangan negeri. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.
Berikut adalah nama 12 orang pejuang yang telah syahid menentang penjajah British di Padang Kachung, Kuala Telemong, Terengganu pada 23 Mei 1928:
1. Mahmud bin Mat Diah
2. Lebai Abdul Rahman
3. Idris bin Muhammad
4. Mamat bin Musa
5. Muhammad bin Yunus
6. Abdullah bin Muhammad
7. Ismail bin Ali
8. Muhammad bin Jusoh
9. Muhammad bin Idris
10. Muhammad bin Abdullah
11. Abdul Hamid bin Sulaiman
12. Sulaiman bin Saleh
mengikut cerita orang2 tua, orang2 Melayu yang bangkit melawan British di Hulu Terengganu ketika itu mengibarkan bendera Kerajaan Islam Turki, melambangkan perjuangan mereka adalah demi agama yang tercinta...
ReplyDeleteAllahu Akhbar!
ReplyDelete