Tuesday, 19 July 2011

Kenali Islam Melalui Qur'an



Semua mengenali Jodie Foster, aktres Hollywood tersohor seluruh dunia. Sebagai bintang filem, kehidupannya tentulah dilingkungi kemewahan yang melimpah, yang turut sama dirasai ibunya. Di sebalik kehidupan penuh glamor itu ibu Jodie Foster ini sebenarnya sentiasa merasa tidak tenteram dan dihimpit banyak permasalahan hidup sehingga pada suatu masa dia hampir membunuh dirinya.
Pada suatu hari, di sebuah kedai buku, tanpa sengaja dia membuka sebuah buku yang berjudul The Glorious Qur’an. Dia tidak begitu memahaminya apabila mula membaca ayat yang pertama, tetapi setelah membelek beberapa helai, dia mula merasakan suatu kelainan tentang buku itu, lalu membuat keputusan untuk membeli buku tersebut. Buku itu mulai ditelaahnya penuh tekun. Ibu Jodie Foster ini akhirnya telah membuat keputusan untuk memeluk agama Islam dan menemui kedamaian hidupnya sebagai seorang Muslim.
Lain kisahnya dengan penterjemah al-Qur’an ke dalam bahasa Inggeris, Marmaduke Pickthall. Hasratnya untuk menterjemahkan al-Qur’an untuk mendedahkan kelemahan dan kecacatan kitab suci umat Islam itu. Dia telah bertungkus lumus untuk memahirkan bahasa Arab. Setelah itu dia memulakan kerja-kerja penterjemahannya. Tetapi belum sampai satu pertiga al-Qur’an dikajinya, dia mula terpukau dengan keindahan al-Qur’an dan kehebatan maknanya. Dia akhirnya memeluk Islam dengan memakai nama Muhammad Marmaduke Pickthall. Dia menyempurnakan terjemahan al-Qur’an itu dengan judul The Meaning of The Glorious Qur’an. Di dalam mukadimah terjemahan tersebut dia telah mencatatkan bahawa dia telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan makna yang tepat bagi setiap perkataan tetapi ternyata kehebatan susunan ayat dan pemilihan perkataan al-Qur’an tidak dapat ditandingi.
Sememangnya apabila diselidiki, kebanyakan orang-orang bukan Islam yang tertarik untuk memeluk Islam itu bertitik tolak dari keresahan hidup mereka dan akhirnya menemui petunjuk di dalam al-Qur’an. Dulu kita ada mendengar kenyataan dari seorang bukan Islam yang memeluk Islam, katanya dia beruntung kerana mula mengenal Islam melalui kitab al-Qur’an, tidak melalui perangai umat Islam pada masa ini. Apa maknanya? Maknanya tingkah laku kebanyakan umat Islam kini tidak langsung mampu menterjemahkan kehidupan indah sebagai seorang Muslim sehingga menjadi tarikan kepada orang-orang bukan Islam. Ya, non-muslim tidak dapat melihat kehebatan Islam dalam diri orang-orang Islam sendiri, bagaimana mereka akan tertarik kepada Islam.

No comments:

Post a Comment