Valentine adalah nama seorang paderi Kristian Katolik pada abad ke-3 Masihi yang telah dimuliakan orang-orang Kristian Katholik dan telah diberi gelaran Saint.
Kisahnya bermula ketika Raja Claudius II (268 - 270 M) melarang para askarnya dari berkahwin kerana bimbang askar-askarnya tidak akan dapat berkhidmat dengan baik jika berkahwin. Perintah raja itu tidak dipersetujui oleh dua orang paderi, Saint Valentine dan Saint Marius, yang mana mereka telah menikahkan askar-askar raja dengan pasangan mereka masing-masing secara senyap-senyap. Perbuatan mereka berdua akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Claudius II, akibatnya kedua-dua saint itu telah dijatuhkan hukuman mati.
Sementara menunggu hukuman mati, Saint Valentine dan Saint Marius dipenjarakan, di mana Saint Valentine sempat berkenalan dengan anak gadis seorang pengawal penjara, yang menjadi teman istimewanya selepas itu. Si gadis itu sering mengunjungi Valentine di penjara sehingga ke hari hukuman matinya. Sebelum menemui ajalnya, Saint Valentine sempat menulis pesanan kepada kekasihnya itu, yang diakhiri dengan sepotong ayat “....from your Valentine”.
Kisah percintaan Saint Valentine telah menjadi bualan masyarakat selepas itu. Kira-kira 200 tahun kemudian iaitu pada tahun 496 Masehi, Pope Galasius merasmikan tanggal 14 Februari 496 sebagai Hari Velentine.
Itulah serba ringkas sejarah Hari Valentine yang ternyata untuk mengenang dan memperingati dua orang suci Kristian Katholik yang kononnya mengorbankan jiwanya demi kasih sayang.
Valentine di Malaysia
Remaja kita turut merayakan Hari Valentine hanya kerana terikut-ikut dengan budaya Barat dan kononnya mahu mengikut trend semasa dan tidak mahu dilabel sebagai kolot. Merayakan hari untuk memperingati kekasih, hakikatnya mereka telah terjerumus ke dalam budaya tidak sihat tajaan Barat seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Bagi kita, sambutan Hari Valentine ini hanya akan menjadi penyubur kepada penyakit sosial yang telah sedia membarah dalam masyarakat kita, kes-kes perzinaan, buang bayi dan sebagainya.
Sebenarnya Hari Valentine yang menjadi kegilaan ramai itu bukanlah hasil dari sebuah ketamadunan atau ilmu pengetahuan, ianya lahir dari perasaan menyesal dan terkilan pemimpin Kristian Katholik atas hukuman yang dijatuhkan oleh Raja Claudius II. Tiada apa-apa contoh teladan yang baik yang sehingga perlu kita mengagung-agungkannya.
Apakah menjadi kesalahan remaja mempunyai kekasih? Tidak, tetapi mesti tahu batas hukum hakam dalam agama kita.
Apabila dunia Barat terarah kepada mengagungkan dunia glamour, seks bebas dan bermacam-macam lagi, apakah kita di sini harus terlibat sama? Biarkanlah mereka dengan dunia mereka.
Pandangan Islam
Memetik peringatan dari kitab suci al-Qur’an “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya” (surah al-Israa’:36)
Dalam Kitab Sahih mereka, Bukhari dan Muslim meriwayatkan, “Bezakan diri kamu dari orang-orang musyrik”.
Imam Ahmad pula meriwayatkan, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia akan termasuk dalam golongan mereka”.
WalLahu a’lam.
kebetulan pula tahun ni hari valentine dekat2 dengan maulidur rasul...
ReplyDelete