Wednesday, 15 June 2011

Tok Ayah Haji Taib Seberang Pasir Mas

Haji Taib Seberang Pasir Mas  atau lebih masyhur dengan gelaran Tok Ayah Haji Taib, seorang guru agama, qari dan pendekar terbilang pada zaman pemerintahan Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV (1920-1944). Nama penuh tokoh yang tersohor gagah serta gemar mengembara cari ilmu ini ialah Haji Muhammad Taib Bin Abdul Rahman Bin Tok Tama, berasal dari Patani. Beliau dikatakan pernah belajar di Mekah, bersama dengan Tok Kenali, juga menuntut di Patani  dengan bergurukan  Tok Semla, tokoh ulama di situ.
Minat beliau untuk  menambah dan melengkapkan ilmu dunia dan akhiratnya tidak pernah padam. Di mana jua beliau tahu ada orang tersohor alim atau yang lebih berilmu, lebih handal, lebih hebat, lebih bijak dan seumpamanya, maka beliau akan berusaha mencarinya,  walaupun sejauh Pulau Jawa, Minangkabau, Jambi, Medan dan tempat-tempat lain juga.
Kerana keilmuannya maka dia dihormati ramai, tambahan pula kebanyakan pembesar negeri dan alim ulama di Kelantan pada masa itu adalah kenalan dan sahabat beliau. Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan termasuk Dato’  Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud Ismail (setaraf Menteri Besar sekarang), ulama tersohor Tok Kenali, Tok Selehong, Haji Umar Sungai Keladi, Haji Daud Kampung Menuang, Pak Cik Musa, Imam Haji Wan Muhammad (Tok Gagah) dan adindanya Mufti Haji Wan Musa, Pak Ngah Haji Musa Parit Cina, Haji Taib Gagah Padang Tengah, Salor, Haji Mamat Gagah Kampung Tok Belian, Haji Mamat Gagah Kampung Pauh (Pasir Mas), Haji Mahmud Gagah Kampung Gaung, Haji Awang Gagah Kampung Teluk Kandis, Tok Said Gagah Bukit Panau dan beberapa orang tokoh yang lain lagi. Beliau bukan sekadar bersahabat, bahkan bergilir berguru sambil bertukar-tukar pengalaman. Sebagai menghormati ketokohan  beliau, maka Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV menganugerahi beliau dengan gelaran hulubalang Kelantan. Kadangkala Haji Taib juga dipanggil dengan panggilan Tok Payung kerana beliau gemar berpayung.
Tok Ayah Haji Taib merupakan guru perintis di Madrasah  Pasir Mas (1918-1924), yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Arab Pasir Mas.  Apabila Haji Wan Muhammad Zain Bin Haji Wan Ahmad Bin Haji Awang Alim pulang dari Mesir, beliau turut mendampingi qari tersebut, mempelajari seni lagu Al-Quran  dan akhirnya terkenal sebagai seorang “tukang lagu” yang masyhur. Antara murid-muridnya yang ternama termasuk Tuan Guru Pak Nik Awang “Tanduk Dogol” (Tebing Serah, Salor) Haji Ali Saleh (Imam Salor) dan Tok Chik Leh Pendekar (Aur Duri)
 Keturunan Tok Ayah Haji Taib ini telah menjadi tokoh-tokoh yang disegani oleh masyarakat setempat. Tan Sri Ahmad Nordin Zakaria (mantan Ketua Audit Negara) adalah cucunya. Dato’ Haji Wan Hasan Abdul Halim (mantan Pengarah Perhutanan Johor) juga merupakan cucunya. Begitu juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir Muhammad Fakhruddin Abdullah. Sementara sasterawan Muhammad Afandi Hasan itu adalah merupakan cicitnya.
Tok Ayah Haji Taib meninggal dunia pada 7 Safar 1366 bersamaan 31 Disember 1946 dalam usia lebih kurang 75 tahun.

1 comment:

  1. Ni keturunan saya. Arwah tan sri nordin tu tok sedara saya. Sasterawan tu pulak pakcik endi, sepupu abah saya.

    Penulis ni siapa dalam salasilah tok ayah ni?

    ReplyDelete