Kita orang-orang Melayu memang kadang-kadang terdidik dengan nilai-nilai yang tidak berapa tepat dengan agama Islam. Saya terus beri contoh: Dulu Laksamana Hang Tuah menculik Tun Teja semata-mata untuk menunjukkan taat setia kepada Sultan. Pada masa itu Tun Teja sudah bertunang. Apa pendapat anda tentang peristiwa ni?
Hang Tuah tetap dianggap wira dan disanjung dalam masyarakat Melayu. Kalau saya mengata Hang Tuah ini seorang yang tidak mempunyai pertimbangan yang tepat sebagai seorang Muslim, maka tentu nanti saya akan jadi kutukan masyarakat. Padahal perbuatan menculik itu jelas suatu kesalahan yang besar, tidak ada keraguan lagi. Apa pula perasaan tunang Tun Teja tersebut? Tapi gambaran yang diterima masyarakat ialah, tunang Tun Teja itu seorang yang tidak baik dan Tun Teja sendiri tidak menyukainya. Itu sekadar satu contoh.
Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, sememangnya pihak yang berkuasa pada suatu suatu masa mempunyai peranan dalam mencorak bentuk pemikiran masyarakat melalui bentuk penulisan dan sebagainya. Oleh kerana buku Sejarah Melayu ditulis untuk menaikkan imej sebelah pihak, maka melalui olahan cerita dan susunan bahasanya, maka terhasillah imej Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang taat setia dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan sultannya. Jangan salahkan sultan, mungkin dia pun tidak tahu menahu tindak tanduk laksamananya itu.
Oleh kerana media di dunia ini dikuasai oleh suatu pihak, maka peranannya ialah menunjukkan imej baik pihaknya dan memberi wajah yang hodoh kepada pihak yang dianggap saingannya. Dahulu kita dimomokkan tentang keburukan komunis. Melalui filem, media cetak dan sebagainya, kita disarankan untuk beranggapan komunis itu begitu buruknya. Bukanlah kita nak katakan bahawa komunis itu baik, tapi hakikatnya pihak yang mengaitkan komunis itu dengan bermacam tuduhan pun dua kali lima. Komunis menunjukkan keganasan untuk mencapai tujuan politiknya, maka apa kurangnya British yang datang menjajah tanah air kita ni? British tu baikkah? Jahat komunis kerana menyerang kepentingan British? Jahat Jepun kerana suka menampar orang? Bukankah lebih jahat British yang datang menjajah kita kemudian berpura pura baik. Bukankah ramai pejuang tanah air kita ini yang mati di hujung senapang askar British? Oleh kerana mereka yang menguasai media, maka digambar Tok janggut, Mat Kilau, Rosly Dhobi, Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ibrahim Yaakob, dan lain-lain sebagai pemberontak. Padahal mereka semua ini sanggup menggadai nyawa untuk menentang penjajah.
Apabila komunis tidak lagi berpengaruh selepas kejatuhan Soviet, maka blok Barat yang sekarang diterajui Amerika mahu tak mahu terpaksa mencari suatu kelompok lain untuk dijadikan sasaran mereka. Maka dipilihlah golongan Islam sebagai kelompok baru untuk dijadikan kambing hitamnya. Bermula usaha untuk memberikan wajah keganasan kepada negara-negara Islam. Negara-negara Islam terpilih dituduh sebagai penaja keganasan. Tuduhan yang sering diikuti dengan bukti-bukti palsu yang direka-reka. Iraq diserang cuma berdasarkan telahan liar memiliki senjata nuklear. Dimusnahkan secukupnya, walaupun tiada bukti yang sahih. Begitu juga Afganistan. Negara yang terpaksa berjuang mempertahankan kedaulatan mereka ini pula yang dituduh pengganas, padahal yang bergerak menyerang dahulu adalah Amerika. Tapi di negara-negara Barat, berapa kerat sangat yang akan kata Amerika itu jahat? Itulah peranan media yang dikuasai oleh pihak yang memang berniat jahat.
Jesteru adalah satu kemestian untuk kita tidak menerima seadanya segala berita dan bahan sejarah tanpa perlu membuat penelitian yang secukupnya. Mungkin ada suara pihak lain yang sengaja dibisukan untuk menjaga kepentingan sebelah pihak. Sebagai seorang Islam adalah perlu bagi kita untuk mendengar hujah dari kedua-dua pihak sebelum membuat apa-apa keputusan, apalagi sebelum menuduh pihak tertentu sebagai pihak yang bersalah.
No comments:
Post a Comment