Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan setiap tahun, lazimnya dapatlah kita lihat bendera Jalur Gemilang dikibar di tiang-tiang dan berjuntaian dari bangunan-bangunan. Sekali imbas bendera Malaysia akan kelihatan seakan-akan bendera Amerika Syarikat yang sudah tua itu. Jalur merah putihnya serupa cuma dengan bilangan yang berbeza. Jalur Gemilang ada 14 jalur merah putih sementara bendera Amerika kurang satu jalur. Di sudut atas bendera Amerika ada 50 bintang yang mewakili 50 buah negeri yang membentuk Amerika Syarikat. Manakala di sudut atas bendera Malaysia ada bintang dengan 14 bucu, juga simbol bilangan negeri-negeri yang ada dalam Malaysia.
Selepas gagal membentuk Malayan Union, diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, kerajaan penjajah British telah menganjurkan satu pertandingan mencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Sebanyak 373 penyertaan telah diterima. Bendera yang dicipta oleh seorang arkitek dari Johor, Mohamad Hamzah telah terpilih sebagai pemenang dan telah diperkenan oleh King George VI pada 16 Mei 1950. Ia telah dikibarkan buat pertama kali oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di Istana Selangor dengan dihadiri oleh raja-raja Melayu dan wakil King George VI. Semasa itu bucu bintang yang ada cuma 11. Nampaknya reka bentuk bendera baru itu tidaklah menimbulkan banyak persoalan di kalangan rakyat, dan dipersetujui juga oleh Dato’ Onn yang semasa itu menjawat Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan penjajah. Ada ura-ura mengatakan British hendak melantik Dato’ Sir Onn menjadi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Jika itu jadi kenyataan maka kedudukan beliau akan jadi lebih tinggi dari kedudukan 9 orang Raja-raja Melayu. Akhirnya dipersetujui beliau agar menjadi menteri sahaja.
Apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu pada tahun 1955, beliau tidak mengusik bendera itu. Apabila negara merdeka pada 1957, tiada sesiapa yang membangkitkan hal bendera itu. Mungkin semuanya seronok dengan bayang-bayang bendera Amerika. Apabila negara Malaysia dibentuk pada 1963, dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura maka bucu bintang telah ditambah menjadi 14 bucu. Walaupun selepas itu Singapura keluar dari Malaysia, tapi bucu itu kekal 14, kebetulan Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan. Dengan bahasa mudahnya Kuala Lumpur gantikan Singapura.
Sebenarnya kalau direnung kembali, pemilihan bendera Malaysia ini agak janggal sebab sebelum itu semua wilayah Melayu telah sepakat bahawa bendera bagi rumpun Melayu ini ialah Sang Saka Merah Putih. Indonesia mengekalkan Sang Saka Merah Putih sebagai bendera negaranya apabila merdeka pada 1945. Singapura juga mengambil Sang Saka Merah Putih dengan menambah lima butir bintang di sudut atas. Bendera parti UMNO juga adalah Sang Saka Merah Putih dengan diletakkan keris di tengah-tengahnya. Malah bendera pertubuhan PAS juga adalah Sang Saka Merah Putih dengan kalimah Allah Muhammad dalam bulatan ditambah di sudut atasnya. Parti politik Melayu yang pertama iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmi, Pak Sako dan Ahmad Boestamam memakai Sang Saka Merah Putih yang asal. Parti Rakyat juga memilih Sang Saka Merah Putih dengan di tengahnya gambar kepala banting atau kepala lembu.
Dengan sisa-sisa merah putih yang masih dapat dilihat pada semua bendera-bendera tersebut maka kita harap semangat Sang Saka Merah Putih masih tetap hidup di dalam diri orang-orang Melayu yang serumpun ini. Apakah akan tiba suatu hari di mana bangsa Melayu ini akan kembali bersatu di bawah kibaran panji keramat Sang Saka Merah Putih?
No comments:
Post a Comment