Monday 1 August 2011

Menjelang Merdeka

Pertubuhan politik  pembangkang pertama di Tanah Melayu ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM), ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua untuk memperjuangkan kemerdekaan melalui gabungan dengan Indonesia. Aktivis KMM terdiri dari lulusan institusi pengajian tajaan penjajah British seperti Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim, Kolej Pertanian Serdang (kini UPM) dan Sekolah Teknik Malaya di Jalan Gurney (kini UTM). Antara tokoh terkenal ialah Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussain, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.
Mereka ini sebenarnya adalah penjawat awam dalam kerajaan penjajah tetapi pada masa yang sama bergerak aktif dalam KMM. Mereka disyaki bekerjasama dengan pihak Jepun untuk menjatuhkan penguasaan British dan akhirnya telah ditangkap. Musuh British pada ketika itu ialah negara-negara Paksi (Axis) yang terdiri dari Jerman, Itali dan Jepun.
Hakikatnya ialah KMM bukanlah pro-Jepun tetapi cuba mengambil kesempatan dari keadaan politik dunia masa itu untuk menuntut kemerdekaan, seperti yang dilakukan oleh Sukarno di Indonesia dan Chandra Bose di India. Realiti politik pada masa itu, kedudukan British terlalu kuat untuk dikalahkan secara bersendirian oleh anak watan Tanah Melayu.
Dari itu KMM telah mengambil langkah bekerjasama dengan Jepun yang menjanjikan kemerdekaan kepada bekas tanah jajahan Barat di bawah gagasan ‘Asia untuk Asia’. Maka ketika Jepun masuk ke Tanah Melayu, KMM menubuhkan pasukan bersenjatanya untuk membantu menjatuhkan British. Tetapi apa yang berlaku ialah, apabila Jepun menang, mereka telah membubarkan KMM malah menahan para pemimpinnya. 
Ketika Jepun menguasai Tanah Melayu, pembangkangnya ialah Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempunyai pasukan bersenjatanya iaitu Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun (MPAJA).  Sentimen Perang China-Jepun dibawa ke Tanah Melayu. PKM mahu menghalau Jepun dari Tanah Melayu secara bersekutu dengan pihak British.Ketika itu British bersekutu dengan Moscow untuk menentang Jerman dan Jepun. Nasib PKM bersama British ini samalah seperti KMM dengan Jepun.
Apabila Jepun menyedari mereka hampir kalah, maka pemimpin KMM yang ditahan telah dibebaskan untuk membantu mereka menghadapi Brtitish.  Di Indonesia, Jepun telah melatih para nasionalis untuk menjadi pentadbir bagi menggantikan mereka dan untuk menghalang Belanda daripada kembali. Jepun telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa politik rasmi. Dari situlah bermulanya kesedaran kebangsaan Indonesia . Jepun telah mengemukakan tawaran kemerdekaan kepada Indonesia. Gagasan Indonesia yang baru inilah yang menjadi perdebatan. Ada yang menganggap wilayah Indonesia hanya meliputi bekas tanah jajahan Belanda, namun ada juga yang mahu memasukkan semua wilayah yang telah jatuh ke tangan Jepun, termasuk Semenanjung Tanah Melayu ini supaya turut digabungkan bersama. Tentera nasionalis ditubuhkan di Indonesia dan di Tanah Melayu, KMM telah menubuhkan PETA (Pembela Tanah Air) dengan hasrat mengisytiharkan kemerdekaan bersama dengan Indonesia. Namun perkara itu tidak berlaku kerana Jepun telah menyerah kalah dengan tiba-tiba setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom.   Apabila Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, nasionalis KMM di Tanah Melayu tidak mempunyai kekuatan untuk melakukan perkara yang sama. Akhirnya British kembali berkuasa di Tanah Melayu. Mereka segera menangkap aktivis KMM.
Di peringkat global pada masa itu, tentera Berikat sedang berpecah. Parti Komunis di Moscow telah mengeluarkan arahan kepada semua parti komunis seluruh dunia supaya menentang British.  PKM telah mengatur langkahnya dengan menyusupkan seorang anggotanya iaitu Mokhtaruddin Lasso ke dalam PKMM bagi menyusun semula gerakan nasionalis di Tanah Melayu. Apabila British kembali semula, PKMM yang seolah-olah menghimpunkan semula pemimpin-pemimpin KMM, muncul sebagai pembangkang baru. Muncul nama-nama seperti Pak Sako, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Dalam usaha untuk meneruskan penguasaannya, pihak British muncul dengan gagasan Malayan Union. Namun gagasan ini mendapat tentangan hebat  dari PKMM bersama puak-puak kiri yang lain. Jelas realiti politik semasa itu, pihak British mahu tidak mahu mesti memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.  Semasa itulah British telah memilih UMNO, yang kelihatan agak moderate, sebagai penggantinya mewarisi tampuk pentadbiran di Tanah Melayu.



No comments:

Post a Comment