
PKMM telah mengeluarkan lapan resolusi pada 30 November 1945 tetapi pihak kerajaan menganggapnya sebagai dipengaruhi oleh anasir komunis, di mana sebelum itu Parti Komunis Malaya telah mengeluarkan rancangan “Sembilan Perkara”.
PKMM mula dituduh condong ke arah fahaman komunis apabila Mokhtaruddin Lasso diangkat sebagai Yang Dipertuanya yang pertama pada Oktober 1946. Mokhtaruddin bersama-sama dengan Ahmad Boestamam adalah pengasas kepada PKMM. Pada masa itu Naib Yang Dipertua disandang oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Dahari Ali sebagai Setiausaha, Arshad Ashaari sebagai Bendahari dan Ahmad Boestamam adalah salah seorang Ahli Jawatankuasanya.
Dalam masa sebulan selepas ditubuhkan, PKMM telah mempunyai beberapa cawangan di Selangor, Singapura, Melaka, Pulau Pinang dan Perlis. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu disamping menerbitkan majalah bulanan seperti Berjuang dan Voice of the People.

Bagaimanapun beberapa bulan kemudian apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, Dr Burhanuddin Helmi telah mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Yang Dipertua yang kedua selepas Mokhtaruddin menghilangkan diri ke Sumatera Barat. Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad sebagai Yang Dipertua yang ketiga. Dengan peralihan pucuk pimpinan itu PKMM tidak lagi dilihat condong kepada komunisme sebaliknya lebih bersifat nasionalisme. Ahmad Boestamam, Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Haji Muhammad semuanya bekas pemimpin dalam KMM.

Bagaimanapun pengaruh PKMM tidak kekal lama. Kegiatan-kegiatan PKMM anti-penjajah tidak disenangi oleh pihak penjajah British. PKMM telah menerima pelbagai tekanan yang hebat dari pihak British termasuk penangkapan beberapa pimpinan utamanya. Bagi meredakan semangat menentang penjajah yang semakin membuak di kalangan rakyat, pihak penjajah British merestui penubuhan UMNO untuk menjadi wadah baru perjuangan orang-orang Melayu. Ada kalangan pimpinan PKMM juga ikut menyertai UMNO, antara yang diketahui ialah Ghaffar Baba. Aishah Ghani juga merupakan bekas pimpinan PKMM.
Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) merupakan gabungan parti-parti politik radikal Melayu yang dipelopori oleh PKMM dan bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) untuk menentang Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Akhirnya pada 18 Jun 1948 , PKMM dan beberapa parti lain telah diharamkan apabila darurat diisytiharkan oleh pihak berkuasa British dengan persetujuan Yang Dipertua UMNO Dato' Onn Jaafar.
Atas alasan apapun, kita tidak boleh melenyapkan dari sejarah nama parti PKMM dan barisan pemimpinnya yang telah mempelopori perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air ini dari penjajahan. Mereka berkorban segala-galanya. Harta benda hatta jiwa raga. Bezakan mereka ini dari pihak yang sekadar mengambil peluang mencatatkan nama sebagai pejuang kemerdekaan padahal bersama-sama “orang Putih” makan makan dan minum petang.
No comments:
Post a Comment