Satu pengalaman yang tidak mungkin kulupakan, pada tahun 2010. Semasa pulang dari Muktamar PAS di PUTIK Pengkalan Chepa, kusinggah solat asar di masjid Pulau Melaka. Aku dalam saf kedua. Selepas solat, para makmum bersalaman dengan Tok Guru. Tiba giliranku bersalam dengan beliau. Sebaik bersalam, suatu yang tidak kusangka diucap olehnya, "Boleh tolong picit belakang?". Aku tanpa banyak soal terus memicit belakang dan lehernya. Aku sempat bertanya kenapa, katanya dia baru makan nasi dagang, mungkin sebab angin, katanya. Lama juga aku memicit, rasa lenguh juga tanganku. Selepas itu beliau mengucapkan terima kasih. Aku senyum saja. Para makmum lain sambung bersalam dengan beliau. Sebenarnya ramai yang tercengang melihat apa yang berlaku masa tu. Ada yang mengusik aku, "Pandai demo ngurut", aku gelak kecil. Ramai makmum yang ada di masjid masa tu, yang menganggap aku ni mungkin orang yang sangat rapat dengan Tok Guru, atau mungkin seorang anak buahnya, sehingga diminta oleh beliau untuk memicit leher dan belakangnya. Hakikatnya, itulah kali pertama aku berpeluang bersalaman dengan beliau.

No comments:
Post a Comment