Wednesday 9 February 2011

Cikgu Kadio :Kisah Cikgu Zaman Dahulu

Abdul Kadir bin Saad dilahirkan kira-kira tahun 1876(mungkin tidak tepat). Oleh kerana beliau dilahirkan di Perak dan kemudiannya menjadi guru sekolah, maka beliau dipanggil Cikgu Kadio. Dari mula bertugas sehinggalah bersara pada tahun 1930-an, Cikgu Kadio mengajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut Setiawan, Perak.


Apabila menjadi guru besar, Cikgu Kadio tidak lagi mengajar. Beliau ke sekolah dengan sebilah parang terselit di pinggangnya dan di belakang basikalnya ada segulung tali. Tugasan pertamanya setiap pagi ialah memeriksa buku kehadiran murid, memastikan murid yang tidak hadir pada hari itu. Selepas mendapatkan nama murid yang tidak hadir, Cikgu Kadio akan keluar keliling kampung untuk mencari murid tersebut.
Biasanya apabila ada kenduri di kampung itu, murid akan ponteng mengikut ibu bapa mereka pergi kenduri. Murid yang ponteng itu akan menyembunyikan diri bila ternampak Cikgu Kadio, tetapi jika Cikgu Kadio ternampak mereka, maka murid itu akan datang menyerahkan diri sambil menghulurkan tangan. Cikgu Kadio akan mengikat tangan murid tersebut walaupun di hadapan ibu dan bapanya. Ibu dan bapa budak itu tidak berani membantah, malahan mereka akan turut dimarahi Cikgu Kadio kerana membiarkan anak mereka ponteng sekolah. Kebetulan Cikgu Kadio juga adalah seorang bomoh yang dihormati di kampung itu. Murid yang diikat tadi akan berjalan ke sekolah manakala Cikgu Kadio berbasikal di belakangnya. Kadang-kadang murid yang diikatnya itu lebih dari seorang.

Sampai di sekolah, murid-murid ponteng itu akan dihukum lagi. Kerana itu murid-muridnya tidak berani ponteng sekolah sesuka hati. Murid tidak hadir ke sekolah hanya jika betul-betul sakit, dan jika ada perkara yang terdesak, ibu bapa akan datang ke sekolah memaklumkan ketidakhadiran anak mereka.

Cikgu Kadio sentiasa memantau perkembangan pelajaran murid-muridnya. Jika terdapat murid yang masih tidak tahu membaca dan menulis, maka beliau sendiri akan masuk mengajar kelas tersebut untuk memastikan puncanya. Jika di dapati murid yang buta huruf itu malas belajar, maka merasalah penampar Cikgu Kadio, kadang-kadang dibelasah teruk. Tetapi murid yang dipukulnya itu tidak berani memberitahu kepada ibu bapa mereka yang Cikgu Kadio telah memukul mereka. Pernah Cikgu Kadio tersua dengan bapa seorang murid yang baru dipukulnya, bapa budak itu memberitahu bahawa anaknya sakit kerana terjatuh masa bermain. Cikgu Kadio tahu sebenarnya budak itu sakit penangan penamparnya! Tanpa perlu disebutkan nama-namanya di sini, hasil dari didikan Cikgu Kadio itu telah lahir tokoh-tokoh ternama yang berjaya di pelbagai bidang.

Begitulah cara cikgu zaman dahulu mendisiplinkan murid-muridnya. Mungkin kita di zaman ini tidaklah mengharapkan cikgu-cikgu menjadi seperti Cikgu Kadio, tetapi pengajaran bagi ibu bapa zaman ini supaya tidak terlalu memanjakan anak-anak mereka semasa proses pendidikan di sekolah.

Cikgu Abdul Kadir bin Saad @Cikgu Kadio telah meninggal pada tahun 1960 pada usia 84 tahun. Begitulah seperti yang dikisahkan oleh Tuan Haji Subky Abdul Latif, iaitu cucu kepada Allahyarham Cikgu Kadio.

-Al-Faatehah untuk Allahyarham Cikgu Kadio.

-Aprisiasi untuk Tuan Haji Subky Abdul Latif.

1 comment:

  1. cikgu pada zaman itu memang dipandang tinggi dalam masyarakat, tidak seperti sekarang, mungkin usaha yang perlu ialah mengembalikan semula zaman kegemilangan cikgu seperti dahulu...

    ReplyDelete