Pada malam 31 Ogos 1957, semua jalan menuju ke Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka sekarang) penuh sesak dengan kenderaan. Padang itu telah dipenuhi orang ramai, begitu juga jalan-jalan telah penuh. Kira-kira sejam sebelum berlakunya penurunan bendera Union Jack di situ, jalan-jalan berdekatan telah “jem” sepenuhnya. Mengikut jadualnya, tepat pukul 12 malam, bendera Union Jack akan diturunkan oleh tiga orang Pemuda UMNO dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang hampir serupa dengan bendera Amerika.
Sementara menunggu saat itu, para hadirin yang telah penuh sesak memberi perhatian kepada pengacara majlis malam itu iaitu Ismail Bontak, seorang pelawak Radio Tanah Melayu ketika itu. Dia juga adalah orang Rumah UMNO di Batu Road (Jalan Tuanku Abdul Rahman sekarang). Ismail Bontak inilah yang melukis gambar kapal layar yang kemudian dijadikan lambang Perikatan dalam pilihanraya. Tiga orang pemuda yang dipilih untuk melaksanakan upacara penurunan bendera kerajaan Inggeris itu adalah Hamzah Alang dari Klang, Radin Supatan dari Kampung Baru dan seorang lagi(walLahu a’lam).
Menurut pendapat Syaikh Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang ketika itu, dan nenda kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi), tepat satu minit selepas pukul 12 malam 31 Ogos pada tahun itu, bulan dan beberapa bintang berada sebaris di kaki langit Kuala Lumpur, suatu fenomena yang jarang berlaku. Tetapi fenomena itu dianggarkan sekitar 3 minit sahaja, selepas itu kedudukan bulan dan bintang-bintang tersebut akan berselerak semula. Menurut ramalan falak beliau, kedudukan itu akan menghasilkan tenaga yang maksima. Jesteru kerana Tunku Abdul Rahman sangat bersetuju dengan pandangan itu, maka Tunku telah memilih saat itu untuk membuat pengisytiharan kemerdekaan negara.
Tunku bertolak dari kediaman beliau(berdekatan PWTC sekarang) menaiki kereta diiringi oleh beberapa motorsikal pemuda-pemuda UMNO. Rombongan Tunku tersangkut dalam kesesakan jalanraya. Pihak polis tidak mengiringi Tunku malam itu. Tanah Melayu belum merdeka secara rasmi, maka polis masih berkhidmat untuk penjajah. Secara logiknya maka jelaslah Tunku tidak akan sampai ke Padang Kelab Selangor tepat pukul 12 malam. Maka satu panggilan telefon telah dibuat kepada Jabatan Ukur (yang menyelenggarakan jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad), memaklumkan bahawa Tunku tidak dapat sampai tepat pukul 12 malam, dan meminta supaya jarum jam itu dapat diundur sedikit atau diberhentikan sementara menunggu ketibaan Tunku. Jabatan Ukur telah mengambil langkah sewajarnya dengan menghentikan jarum jam itu.
Dalam keadaan bersesak itu, bukanlah semua orang dapat melihat jam besar itu dengan jelas. Umumnya orang ramai hanya tunggu untuk mendengar jam itu berbunyi menandakan sudah pukul 12. Hadirin pada malam itu tidak sedar bahawa jam itu sudah dimatikan.
Apabila rombongan yang membawa Tunku sudah tiba, maka jam itu dihidupkan semula. Orang ramai tidak menyedari bahawa 31 Ogos telah masuk beberapa minit lepas dan kemerdekaan belum lagi diumumkan. Tidak dapat dipastikan apakah Tunku sendiri menyedari situasi itu. Pergerakan bulan dan bintang sudah tentu tidak akan pegun menunggu kehadiran Tunku. Kedudukan sejajar yang dimaklumkan Syaikh Abdullah itu sudah pasti telah berlalu. Dengan ketibaan Tunku itu maka majlis itu diteruskan seperti yang telah diatur. Bendera Union Jack diturunkan dan bendera baru Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan walaupun telah ditunda kira-kira 10 minit.
No comments:
Post a Comment