Awal Muharram atau 1 haribulan Muharram setiap tahun adalah cuti umum di Malaysia. Adalah bagus jika ianya lahir atas keprihatinan kita supaya masyarakat sentiasa memperingati dan menyedari akan kewujudan kalendar Hijrah. Umumnya kita biasa menggunakan tahun masehi, hingga ramai juga yang lupa tahun ini tahun hijrah yang ke berapa.
Tetapi agak janggal bila 1 Muharram ini diraikan sebagai Ma’al Hijrah. Perlu diingatkan kembali bahawa peristiwa hijrah RasuluLlah tidak berlaku pada 1 Muharram, sebaliknya ia terjadi dalam bulan Rabi’ul Awwal. Seolah sudah terbiasa dalam masyarakat kita ini mengaitkan peristiwa hijrah dengan Awal Muharram, padahal ia tidak ada sangkut paut sama sekali. Semaklah dalam kitab sejarah mana pun, peristiwa hijrah itu dinyatakan berlaku dalam bulan Rabi’ul Awwal, dan berlaku khilaf tentang haribulannya secara tepat.
Pada zaman Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, belum ada lagi kalendar Hijrah. Hanya pada zaman Saidina Umar timbulnya cadangan supaya diwujud kalendar Islam, sebagaimana tahun Masehi. Pada masa itu yang disebut cuma nama-nama bulan (Muraharram dan lain-lain), sedangkan tidak ada bilangan untuk tahun. Maka beberapa cadangan telah dikemukakan kepada Saidina Umar untuk memulakan kalendar Islam. Ada yang mencadangkan supaya kalendar Islam dikira dari tahun Nabi dilahirkan, namun ditolak kerana bimbang ianya akan meniru kalender Masehi yang katanya mengambilkira hari lahir Nabi Isa. Ada juga cadangan supaya kalendar Islam dikira dari tahun wahyu mula diturunkan. Akhirnya yang diterimapakai ialah tahun di mana berlaku peristiwa hijrah RasuluLlah dari Mekah ke Madinah. Selepas itu bulan Muharram dicadangkan sebagai bulan yang pertama (sempena selesainya ibadat haji), di mana sebelum ini, susunan 12 bulan ada itu belum ditentukan kedudukan nombornya.
Semua ini berlaku pada zaman pemerintah Saidina Umar. Justeru perlu disebutkan bahawa sebarang doa akhir tahun dan doa awal tahun tidak ada yang berasal dari rasuluLlah. RasuluLlah tidak pernah ada doa khas untuk akhir tahun dan awal tahun, tidak juga Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan para sahabat yang lain. Boleh saja kita berdoa pada masa yang kita mahu, tapi jangan sebutkan Nabi menyuruh kita berdoa khusus pada akhir tahun dan awal tahun Hijrah, kerana jelas itu suatu yang diada-adakan.
Jika kita mendengar nanti ustaz-ustaz menyebutkan kisah hijrah RasuluLlah sempena Ma’al Hijrah ini, maka ingatlah bahawa hijrah itu sebenarnya berlaku dalam bulan Rabi’ul Awwal, bukannya pada bulan Muharram ini.
WalLahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment