Sunday 6 March 2011

Tok Kenali

Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat ketika itu untuk memberi gelaran kepada seseorang tokoh bernisbahkan kepada tempat asalnya. Tok Kenali mendapat nama panggilannya dari kampung kelahiran beliau iaitu Kampung Kenali di Kubang Kerian, Kelantan dengan nama sebenarnya Muhammad Yusof bin Ahmad. Tahun kelahiran beliau adalah sekitar tahun 1870 M bersamaan 1287 H.
Beliau mula diasuh dengan pengajian al-Quran dan diajar menulis dan membaca oleh datuknya sendiri Tok Leh, sebelum terus mengikuti pelajaran agama di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Oleh kerana bapanya meninggal ketika Muhammad Yusof berusia 5 tahun, maka dia dijaga dan diasuh oleh datuknya. Oleh kerana beliau adalah seorang yang cerdik maka Muhammad Yusof dapat menguasai ilmu tulis baca dengan cepat dan telah dilantik oleh penggawa untuk membantunya menjalankan kerja-kerja pengkeranian dalam usia kira-kira 7 atau 8 tahun.

Apabila usianya mencecah 9 tahun, Tok Kenali meneruskan pengajiannya di Masjid Muhammadi Kota Bharu, tempat yang menjadi tumpuan penuntut-penuntut ilmu agama pada masa itu. Di Masjid Muhammadi beliau menadah kitab dengan guru-guru yang hebat antaranya  Tuan Tabal, Haji Abbas Sungai Budor, Tuan Haji Wan Ismail ( ayah kepada Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Dato' Nik Mahmud) dan Tuan Guru Haji Ibrahim Penambang(Mufti Kelantan). Antara rakan pengajian beliau ialah Haji Idris yang kemudiannya menjadi Mufti Kelantan.
Tidak lengkap sekiranya seorang pelajar agama jika tidak berhasrat melanjutkan pengajian ke Mekah. Ketika berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1887 M (1303H), Tok Kenali berangkat ke Mekah untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Dalam kesempitan hidup dan kekurangan sumber kewangan, tidaklah mudah bagi seorang perantau meneruskan pengajian di sana. Hampir 7 bulan serambi Masjidil Haram menjadi kediamannya kerana tidak mampu mendapatkan rumah penginapan.
Tuk Kenali terpaksa belajar dengan mendengar sahaja tanpa kitab dan hanya membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta izin tuan kedai. Kitab-kitab wakaf yang ada di Masjidil Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah gurunya . Selain itu, Tuk Kenali ada juga meminjam kitab-kitab gurunya sendiri. Antara gurunya yang terkenal di Masjidil Haram ialah Tuan Guru Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatani, Tok Wan Ali Kutan, Pak Chik Daud Fatani, Syeikh Nik Mat Kechik al-Fatani dan lain-lain. Rakan yang sama-sama menuntut dengannya ialah Haji Nik Mahmud yang kemudian bergelar Datuk Perdana Menteri Paduka Raja.
Setelah berkelana 22 tahun menuntut ilmu di Tanah Suci, Tok Kenali pulang ke tanah air pada tahun 1909 M (1327H) dan membuka pondok di Kampung Paya, Kubang Kerian (kawasan USM Kubang Kerian sekarang) sekitar tahun 1910, yang kemudian menjadi intitusi pengajian agama terkenal di rantau ini. Dikatakan jumlah pelajarnya pada suatu masa mencecah 400 orang, suatu angka yang besar bagi sebuah pusat pengajian pondok ketika itu, termasuk pelajar-pelajar dari Kemboja, Sumatera dan Pattani. Disamping itu beliau juga mengajar agama di Masjid Muhammadi yang terkenal sebagai pusat pengajian agama terbesar di Kelantan, di mana kawasan sekitar masjid itu dipenuhi dengan pondok-pondok pelajar-pelajar yang datang bukan sahaja dari Kelantan, malah dari seluruh Semenanjung dan negara-negara jiran. Mula-mula beliau berulang dari kampungnya ke Kota Bharu setiap hujung minggu untuk mengajar di Masjid Muhammadi, sehingga beliau menetap di Kota Bharu pada 1917. Pada tahun 1925 beliau pulang ke Kubang Kerian dan menetap di Kampung Belukar dan membuka pula pondok pengajian di situ. Kedua-dua pondoknya di Kampung Paya dan Kampung Belukar dikenali sebagai Pondok Kenali.
Tok Kenali telah mendidik sebarisan murid-murid yang kemudian telah menjadi tokoh-tokoh ulama yang disegani, antaranya Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Tuan Guru Haji Yaakob Legor, Datuk Haji Ismail Yusof (Mufti Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung, Datuk Haji Hassan Yunus Menteri Besar Johor, Haji Ali Salaluddin Pulau Pisang, Dato’ Haji Ahmad Maher (Mufti Kelantan)  dan ramai lagi.
Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud Ismail dengan nasihat dari Tok Kenali telah membentuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 24 Disember 1915 dan Tok Kenali turut dilantik sebagai salah seorang ahli mesyuarat majlis. Selepas itu Tok Kenali dilantik sebagai ketua pengarang majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh majlis tersebut pada 1918. Selain itu beliau telah ditugaskan oleh pihak Majlis Agama Islam Kelantan untuk menterjemahkan Tafsir Al-Khazin ke dalam Bahasa Melayu. Tugas berat ini telah dijalankan oleh beliau dan sebahagian daripada tafsir Al-Khazin telah pun siap diterjemahkan. Sayangnya, naskah ini tidak dapat dikesan sehingga sekarang.Begitu juga beliau menterjemahkan Kitab Al-Umm Imam Syafie tetapi separuh jalan sahaja kerana kekangan masa. Jika tidak dihambat oleh kesibukan beliau mengajar, tentulah Tok Kenali akan berdiri sebaris dengan pengarang-pengarang hebat nusantara yang lain seperti Tok Syeikh Daud Fatani.
Dalam kegiatan kemasyarakatan, beliau telah melancarkan suatu gerakan perhimpunan umat Islam pada tahun 1924 yang dinamakan Jami’yyatul Asriyyah (perhimpunan semasa) bertujuan menjadi pentas untuk membincangkan perkembangan terkini politik, membincangkan ilmu-ilmu agama dan sebagai tempat perhimpunan sesuatu upacara keagamaan. Di Jalan Tengku Petra Semarak, Kota Bharu sekarang terdapat sebuah bangunan dengan nama Jami’yyatul ‘Asriyyah. Bangunan asal Jami’yyatu Asriyyah telah dirobohkan pada tahun 1972.

Tok Kenali meninggal dunia pada hari Ahad 19 November 1933 bersamaan 2 Syaaban 1352, pukul 7.30 pagi ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tok Kenali yang terletak di KM5 Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, tidak jauh dari istana.

No comments:

Post a Comment