Monday, 22 August 2011

Kanak-kanak hukumnya bernajis?

          Entah dari mana muncul hukum “kanak-kanak yang belum bersunat (khitan) hukumnya bernajis”. Memang ada orang pernah sebut macam tu, tapi kalau kita tanya dia mana dalilnya, nasnya, apa sandarannya, apa hujahnya, bolehkah dia menjelaskannya? “Hukum” yang agak janggal ini pernah menimbulkan konflik di kalangan jemaah masjid. Ada jemaah yang membawa anaknya yang belum berkhitan untuk solat berjemaah, bersama dalam saf orang dewasa. Ada ahli jemaah lain yang menegur supaya anak itu dikeluarkan dari saf orang dewasa dan diletakkan di saf belakang. Natijahnya… bermasam muka la dua pihak tadi.
          Ada ke nas yang sahih yang menegaskan bahawa kanak- kanak yang belum berkhitan itu bernajis, sehingga perlu diletakkan signboard seperti dalam gambar tu? Betul ke kanak kanak itu akan menyebabkan jemaah dewasa yang bersentuhan dengannya akan terbatal solatnya? Atau terputus saf? Atau terbatal pahala saf?
Perlukah diwujudkan satu saf khusus untuk kanak-kanak di belakang saf orang dewasa? Kalau ada ustaz atau imam yang mengatakan bahawa di bawah “kulit” kanak-kanak itu ada najis kerana belum berkhitan, maka tanyakan, tidakkah di dalam perut orang dewasa juga ada najis. Maka orang dewasa juga hukumnya bernajis! Mana logiknya najis yang di bawah kulit dikira bernajis. Cuba tanyakan imam itu adakah batal solat orang yang bersentuhan dengan kucing? Tidakkah kucing itu tidak pernah istinja’? Maka kalau nak dipakai lojik tadi, kucing itu lebih bernajis dari kanak kanak.
         Al-Bukhari di dalam Sahihnya meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas. Kisahnya Ibnu Abbas semasa masa kanak-kanak solat di sebelah Nabi s.a.w. Kata Ibnu Abbas: “Rasulullah bangun bersolat malam, aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda”.
Dalam Sahih Bukhari juga ada hadis dari Anas r.a:, “Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”.
Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan bahawa susunan saf lelaki dewasa di depan saf kanak-kanak itu adalah hadis yang da’if  dari segi sanadnya. Menurut Syeikh Nasiruddin Al-Bani di dalam bukunya Tamam al-Minah: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak berdiri di belakang lelaki dewasa, aku dapati hanya hadis yang da’if sahaja. Ia tidak boleh dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas”.
          Dukacita kerana pihak yang dianggap punyai autoriti di masjid mengambil sikap yang tidak mesra kanak-kanak. Sikap yang boleh menjadi suatu penghalang dalam proses pembentukan jiwa kanak-kanak, mencacatkan proses pendidikan kanak-kanak tersebut. Sangat malang juga kerana kadang-kadang yang bertugas menjadi “penguatkuasa” yang menyusun saf kanak-kanak di belakang itu adalah seorang siak tidak bertauliah, berjubah dan serban, tetapi merokok.
          Saya rasa kita perlu berhenti dari perbuatan yang tidak patut sama sekali kita lakukan, iaitu mencipta larangan-larangan tertentu dan kita sandarkan kepada nama agama. Kita jadikan larangan kita sebagai larangan agama. Berhentilah dari meneruskan amalan yang disandarkan kepada agama padahal tiada nas yang sahih dan sarih mengenainya, cuma ikut ikut dari generasi dulu.

No comments:

Post a Comment