Friday, 16 September 2011

Jihad Melawan Penjajah

             Perkataan jihad sering dipandang sinis oleh sesetengah pihak. Bukankah dalam sejarah bangsa kita yang belum begitu lama telah menyaksikan semangat menentang penjajahan, yang membariskan nama-nama seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Dol Said, Rosly Dhobi, Mat Salleh, Dr. Burhanuddin El-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan ramai lagi. Sebenarnya lebih ramai dari pejuang-pejuang tanah air kita ini pergi tanpa meninggalkan nama, tidak diketahui kisahnya, malahan namanya pun tidak dikenali generasi kini. Ternyata pengorbanan mereka itu bukan untuk mencari nama, pangkat, kedudukan dan ganjaran di dunia ini. Hanya Tuhan yang akan menentukan ganjarannya di akhirat nanti. Ditakdirkan juga nama-nama pejuang ini seakan tenggelam di kala negara diisytihar merdeka pada 1957. Muncul nama-nama seperti yang kita sering dengar sekarang disanjung sebagai para pejuang kemerdekaan. Lembu punya susu, sapi punya nama.
             Sebenarnya, jika takdirnya terpaksa menuntut kemerdekaan tanah air melalui peperangan, maka itulah yang menjadi kewajipan bagi umat Islam. Namun ianya tidak berlaku dalam proses kemerdekaan negara kita. Cetusan penentangan terhadap British oleh Tok Janggut di Pasir Puteh (1915) dan Haji Abdul Rahman Limbong di Hulu Terengganu (1925) tidak merebak selepas dari itu. Penjajah British ternyata begitu licik memainkan peranan melumpuhkan semangat anti-penjajah di kalangan orang-orang Melayu. Segala ruang yang ada telah digunakan untuk melabelkan para penentang penjajah ini sebagai pemberontak. Label itu ternyata berkesan, sehingga kita dengar di kalangan rakyat jelata pun ada yang percaya dengan propaganda jahat British itu. Clear cut. British adalah penjajah. Rakyat yang menentang penjajah adalah pejuang, bukannya pemberontak. Yang jahat adalah penjajah dan kawan-kawannya.
             Rasanya tidak perlulah dilayan kenyataan yang dikeluar oleh seorang professor yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah. Dia cuba memberikan takrifan yang difahaminya tentang merdeka untuk menegakkan hujahnya. Tidakkah itu sangat janggal, pelik dan mengelirukan? Setelah berlalu 54 tahun menyambut merdeka setiap 31 Ogos, tiba-tiba dimaklumkan kita tidak pernah dijajah. Konon mahu tunjuk pintar, ternyata dia telah menjadi bahan ketawa ramai. Orang-orang kampung yang bersembang di kedai kopi pun boleh menilainya. Hendak ditarik balik sudah terlanjur kata, mahu tak mahu, pertahankan sahaja. Salah benar sudah tidak kira, yang penting jaga status professor.  Inilah yang dikatakan "sokong membawa rebah". Konon hendak membodek kerajaan, tapi terlebih bodek. Kalau hendak tukar tayar kereta pancit, jek kereta sedikit supaya tayar pancit boleh ditukar, jangan terlebih jek, nanti kereta terbalik. Prof tu kira dah terlebih jek, terkapai-kapai la pihak sebelah sana mencari hujah.
             Jihad sebenar harus difahami sebagai kemahuan yang kuat untuk menjaga kelangsungan Islam dan umatnya. Mengikut Syeikhul Akhbar Al-Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud, bahawa salah satu bahagian dari jihad di jalan Allah adalah dengan cara perang (al-jihad al-harbi), di samping jihadun nafsi (jihad dalam diri sendiri). Dengan demikian, jihad perang memang diwajibkan bila keadaan sangat memerlukan, umpamanya apabila iman umat Islam terancam atau agama menghadapi penghinaan dan pencerobohan. Persoalan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk memadamkan api jihad. Juga tidak boleh menjadi alasan untuk membelok dari konteks sebenarnya. Ketika aman, berjihadlah dengan jalan kasih sayang, dan ketika perang, berjihadlah dengan kekuatan senjata. Jangan berdolak dalih. Sesungguhnya umat Islam tidak boleh berhenti dari berjihad. “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal perang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia sangat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia sangat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqaroh: 216)

No comments:

Post a Comment