Tuesday, 23 August 2011

Jimat berbelanja, ingat insan yang tiada...

Memang jelas berjimat cermat adalah suatu amalan yang sangat sangat dituntut dalam agama Islam. Perumpamaan sebagai saudara syaitan adalah suatu gambaran yang jelas bahawa orang yang suka membazir dipandang hina dalam agama. Ya, orang yang suka membazir itu seperti saudara bagi syaitan. Adakah ke amalan tidak elok yang lain yang diumpamakan seperti saudara syaitan?
Persoalannya, apakah indikasinya atau apakah ukuran yang digunapakai untuk menentukan adakah seseorang itu membazir atau tidak? Seringkali yang kita dengar hanyalah seruan dari ustaz ustaz yang meminta kita berjimat dalam berbelanja, maka dibacakanlah hadis tadi, orang yang membazir itu saudara syaitan, tapi ramai yang tidak jelas sebenarnya, sampai ke tahap manakah maka seseorang itu boleh dikategorikan sebagai membazir lantas menjadi saudara syaitan itu? Kalau hendak membeli baju raya tu berapa helai yang dibolehkan? Kalau hendak membeli kuih raya, berapa banyak? Dan sebagainya….
Ukuran pertamanya tentu kemampuan diri kita sendiri. Janganlah sesekali berangan-angan berbelanja di luar kemampuan kita. Dalam bahasa yang mudahnya: berhutang. Berhutang memang mudah, banyak pihak sedia menawarkan pakej pinjaman tunai dan bayaran ansuran, tetapi fikirlah berulangkali. Adakah ianya sangat sangat kita perlukan, sehingga kita tidak boleh menangguhkannya lagi. Kalau memang terpaksa berhutang, apa boleh buat, memang itulah realiti hidup masa kini. Hidup di luar kemampuan sebenar. Ramai dari kita macam tu, contohnya membeli kereta berhutang, membeli rumah pun berhutang…
Kalau dengan pendapatan bulanan kita ini, mampukah kita memakai sepasang baju raya dengan harga RM200, kalau dua pasang sudah RM400! Ukur baju di badan sendiri…
Kita sering terikat dengan gaya hidup dalam masyarakat kita yang kelihatan sering terpaksa untuk berbelanja kepada perkara perkara yang sebenar tidak perlu. Contohnya, masyarakat kita begitu obsess dengan hari raya selama sebulan, bulan Syawal adalah bulan raya. Mungkin kerana sudah berzaman keadaan ini berlangsung, maka kita generasi kini mengikut sajalah. Apa perlunya kita beraya sampai sebulan? Itu suruhan agama ke? Tidak, tidak sekali kali. Hari raya eidulfitri cuma pada 1 Syawal, hari yang diharamkan kita berpuasa. Hari yang disuruh kita merayakannya sempena kemenangan kita menundukkan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Itu yang sebenarnya. Dalam konteks hidup kita di Malaysia ni, boleh la diterima kalau 4-5 tu kita masih saling mengucapkan hari raya, atau mengadakan rumah terbuka, maklum la, kalau sehari mungkin tak sempat kita beraya dengan semua sanak saudara, jiran dan rakan-rakan. Tapi kalau nak juga disambung pesta raya ni sampai dua minggu lebih, di situlah bermulanya pembaziran. Baju raya terpaksa dibeli lebih banyak pasang, kuih muih mesti dibeli lebih banyak, jamuan raya pun terpaksa lebih kerap. Jadi kalau bercakap tentang berjimat cermat ni, mesti dibetulkan juga mindset kita tentang raya sebulan ni. Tak perlu la kita bersusah payah mengekalkan budaya yang tidak perlu ni.
Kita kena juga menyedari dalam masyarakat kita ni ramai lagi saudara saudara seagama dengan kita yang hidup susah. Bagi mereka ni, kalau dapat membeli sehelai baju raya untuk anak anak sudah cukup memadai, kadang kadang raya dengan baju lama saja. Berbeza dengan kita yang duk fikir lepas ni nak beli baju yang colour apa pulak, nak fesyen yang lain pulak. Sebenarnya kalau kita suka mengambil iktibar dari bulan puasa ni, maka dengan sendirinya kita akan insaf akan nasib mereka yang terpaksa menahan lapar setiap hari kerana tidak ada makanan yang hendak dimakan, tidak punya wang untuk berbelanja. Dengan sendirinya juga perasaan belas sesama insan akan muncul. Hilang perasaan ego dan mementingkan diri sendiri. Adakah kita begitu?
Perlukah kita berbuka puasa dengan hidangan mewah di hotel, dengan kos yang berlipat ganda? Bukankah lebih baik kos itu kita salurkan untuk membelikan juadah berbuka untuk jiran atau kenalan yang tidak mampu?

No comments:

Post a Comment