Tuesday 15 May 2012

Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan

Latar Belakang Ringkas.
Nama asal Dato’ Bahaman adalah Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh. Bapanya ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menjadi Sultan Pahang, Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar berdasarkan jasa bakti beliau kepada tanah air. Kehandalannya dalam ilmu persilatan tidak perlu disebut kerana memang telah diakui ramai.
Menentang British.
Perlantikan John Pickeragill Rodger dilantik sebagai Residen yang pertama di Pahang pada 1888 menandakan bermulanya campurtangan secara rasmi British dalam hal-hal pentadbiran  di negeri tersebut. Dikatakan pada masa itu Sultan Ahmad terpaksa menerima campur tangan British baginda merasa terhutang budi dengan pihak British yang telah ‘membantu menghadapi pemberontakan dari adindanya sendiri. Dengan campur tangan ini, secara tidak langsung Temerloh menerima pengaruh British. J.P Rodger telah melantik beberapa orang pegawai British untuk membantunya mentadbir jajahan-jajahan. Pegawai-pegawai ini juga telah berfungsi sebagai Pemungut Hasil (collector) dan Hakim (magistrate).