Apabila Perdana Menteri Turki, Reccep (baca Rashid) Tayyip Erdogan berkunjung ke Mesir, sambutan yang diterimanya sangat luar biasa. Rakyat Mesir berkumpul, melaung-laungkan namanya sambil menjulang gambarnya. Seolah-olah menyambut Presiden mereka sendiri. Situasi ini menggambar kepimpinan Erdogan disanjung tinggi masyarakat Islam khususnya rakyat Mesir, tentu disebabkan cara Erdogan menonjolkan wataknya dalam arena politik antarabangsa. Memang Erdogan kini muncul tokoh pemimpin Islam paling menonjol, melebihi Mahmoud Ahmedinejad dan para pemimpin lain.
Dalam keadaan politik Mesir sekarang, tentunya tokoh seperti Erdogan inilah yang dicari oleh rakyat untuk ditonjolkan sebagai pemimpin baru mereka bagi era pasca-Mubarak ini. Perhatian sudah pasti akan tertumpu ke arah Ikhwanul Muslimin sebagai tunjang politik Mesir sekarang untuk melahirkan seorang pemimpin setanding Erdogan. Difahamkan selain Mesir, Erdogan juga turut mengadakan lawatan ke Tripoli dan Tunis sebelum menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu.
Kemenangan Parti Ennahdha (aliran Islam) yang dipimpin Raschid Gannouchi di Tunisia, di mana mereka melihat Turki dan Erdogan sebagai contoh. Meskipun perubahan yang berlaku di Tunisia berbentuk revolusi, namun mereka memilih jalan Turki, bukannya Iran.
Tahun 1970-an menyaksikan bermulanya gerakan Islam di Turki yang dipimpin oleh Necmettin (baca Najmuddin) Erbakan. Pada masa yang hampir sama, berlaku apa yang dipanggil revolusi Islam Iran yang dipimpin Ayatollah Khomeini. Pada masa itu revolusi di Iran lebih mendapat perhatian masyarakat dunia, khususnya masyarakat Islam, di mana ramai yang menganggap ianya sebagai pencetus kebangkitan Islam abad moden ini. Walaupun begitu, revolusi susulan tidak berlaku di mana-mana negara Arab selepas itu kerana ternyata mereka tidak punyai kekuatan untuk melakukannya. Sehingga berlaku di Mesir dan Tunisia baru-baru ini.
Dunia Barat tidak ada pilihan selain daripada menerima dan bekerjasama dengan pemimpin seperti Erdogan, yang mewakili gerakan Islam demokratik ataupun aliran sederhana. Tidak ada ruang untuk mereka memalitkan golongan Islam sederhana dengan tohmahan jahat pelampau dan sebagainya. Diharapkan Erdogan dan Turki akan menjadi pencetus kepada kemunculan ramai lagi pemimpin Islam dalam aliran ini, untuk mengangkat martabat Islam di mata dunia.
No comments:
Post a Comment