Friday, 11 February 2011

Mengawal Kolesterol Secara Semulajadi

Penyakit jantung merupakan salah satu penyebab kematian utama bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Faktor-faktor risiko penyakit jantung termasuklah paras kolesterol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan tabiat merokok.


Kolesterol merupakan sebatian berlemak, juga dikenali sebagai lipid, yang beredar melalui darah. Ia diperlukan untuk pelbagai fungsi badan yang penting seperti pembinaan membran sel, penghasilan sesetengah jenis hormon, sintesis vitamin D dan penghadaman lemak dalam badan.



Kolesterol beredar dalam darah melalui ikatan kompleks protein yang dikenali sebagai lipoprotein. Lipoprotein diklasifikasi berdasarkan keberkesanannya mengangkut kolesterol. Lipoprotein berketumpatan rendah (low density lipoprotein –LDL) mengangkut kolesterol dari hati ke sel-sel badan melalui peredaran darah. Ia akan memendakkan kolesterol pada dinding salur darah, selepas mengalami pengoksidaaan, menyebabkan ia dikenali sebagai ‘kolesterol tidak baik’.

Berbeza dengan lipoprotein berketumpatan tinggi (high density lipoprotein –HDL), ia juga dikenali sebagai ‘kolesterol baik’. Ia berfungsi membawa kolesterol ke hati untuk dikitar semula atau ditukarkan kepada asid-asid hempedu untuk dikumuhkan.

Masalah berlaku apabila paras kolesterol dalam darah menjadi terlalu tinggi. Tindakan radikal bebas akan menyebabkan lebih banyak kolesterol LDL dioksidakan. Akibatnya, terbentuk mendapan pada dinding salur darah yang dikenali plak. Keadaan ini dikenali sebagai aterosklerosis iaitu pengerasan dinding salur darah. Sekiranya keadaan ini berlaku secara berterusan, penyumbatan salur darah boleh terjadi, jesteru meningkatkan risiko serangan penyakit jantung dan strok.

Hati menghasilkan sebahagian besar dari kolesterol yang diperlukan oleh badan. Sebab mengapa sesetengah individu mengalami peningkatan paras kolesterol melebihi keperluan badan tidak dapat dijelaskan. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fenomena ini. Antaranya ialah diet yang tinggi dengan lemak tepu. Diet jenis ini berupaya menggalakkan hati menghasilkan lebih banyak kolesterol. Makanan yang tinggi dengan kandungan kolesterol termasuk daging merah, kuning telur, makanan laut dan organ haiwan seperti hati. Sesetengah individu mengalami masalah paras kolesterol yang tinggi disebabkan oleh faktor genetik dan keadaan ini dikenali sebagai familial hypercholesterolemia.

Pendekatan semulajadi boleh dilakukan untuk menangani masalah paras kolesterol yang tinggi. Kajian menunjukkan bahawa guggulipid, gum resin yang diekstrak daripada pokok guggul, Commiphora mukul berupaya menurunkan paras kolesterol dalam darah, meningkatkan dan mengekalkan nisbah HDL kepada LDL. Guggulipid berfungsi dengan meningkatkan perkumuhan garam hempedu dan bertindak sebagai antioksidan.

Sebahagian besar komponen garam hempedu merupakan kolesterol, justeru peningkatan perkumuhan garam hempedu membantu menyingkirkan kolesterol berlebihan dari hati. Sebagai antioksidan, guggulipid menyekat pengoksidaan LDL lalu mencegah pengumpulannya pada dinding salur darah. Dari segi keselamatan pula, penggunaannya adalah selamat dan tiada kesan sampingan berbanding penggunaan statin.

Pengubahsuaian cara hidup dan diet merupakan faktor-faktor penting dalam mengawal paras kolesterol. Pengambilan diet dengan kandungan kolesterol, lemak tepu, asid lemak trans yang rendah tetapi tinggi dengan serat serta lemak poli tak tepu daripada ikan, zaitun, avokado dan evening primrose perlu diamalkan. Asid lemak trans mempunyai fungsi yang serupa dengan lemak tepu dari segi keupayaan menyebabkan darah menjadi melekit. Lemak tepu terdapat dalam marjerin, makanan ringan, pastry, biskut, kek, kuah salad dan sos yang terproses. Karbohidrat tertapis juga perlu dikurangkan kerana ia berupaya meningkatkan paras lemak dalam darah mengakibatkan darah menjadi lebih melekit.

Pengubahsuaian kaedah memasak perlu dipertimbangkan kerana kaedah menggoreng berupaya meningkatkan jumlah asid lemak trans dalam makanan, berbanding kaedah merebus, mengukus dan membakar. Menurunkan berat badan terutamanya di bahagian perut penting kerana kajian telah membuktikan bahawa lemak di bahagian tersebut meningkatkan risiko mendapat serangan penyakit jantung dan diabetes. Melakukan senaman secara kerap juga sangat digalakkan.

1 comment: