Wednesday 9 March 2011

Rosli Dhoby

Rosli Dhoby berketurunan Melanau dilahirkan pada 1932 di Sibu, Sarawak. Pada usia yang masih begitu muda Rosli Dhoby telah menyertai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang dibentuk untuk menentang penjajahan keluarga Brooke di Sarawak. Sarawak dikuasai oleh keluarga Brooke bermula tahun 1842 iaitu Sir James Brooke, kemudian anak saudaranya Sir Charles Brooke dan selepas itu anak Charles iaitu Sir Charles Vyner Brooke. Penjajahan keluarga dari British ini berlangsung kira-kita 100 tahun sehingga mereka dikalahkan oleh Jepun pada tahun 1941. Walaupun telah tewas kepada Jepun, tetapi Charles Vyner mahu menyerah Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas perang pada tahun 1945.

Rosli Dhoby dan rakan-rakannya telah menunjukkan semangat juang yang tinggi menentang British yang mahu kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Ke-2.
GPMS menggabungkan pemimpin-pemimpin dari Brunei dan Sarawak di bawah pimpinan Datu Patinggi Abang Abdillah yang merupakan bekas Perdana Menteri Sarawak di zaman Charles Vyner.Sebelum keluarga Brooke menjajah Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah merupakan pemerintah negeri Sarawak mewakili Sultan Brunei yang mengasaskan negeri Sarawak.
 Di dalam GPMS itu terdapat satu kumpulan kecil yang agak sulit yang dinamakan kumpulan Rukun 13, di mana Rosli adalah salah seorang ahlinya. Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuan utamanya ialah untuk membunuh Gabenor British di Sarawak iaitu Sir Duncan Stewart yang dibenci oleh masyarakat bumiputera Sarawak. Pakatan sulit itu telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan yang dijadualkan melawat Sibu pada 3 Disember 1949. Maka mengikut rancangan yang telah diatur, pada jam 9.30 pagi, Rosli telah berjaya menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dipanggil badik. Rosli dan rakan-rakannya telah ditangkap oleh British.  Gabenor Brtish yang cedera  itu telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi, tetapi meninggal dunia 7 hari selepas kejadian itu.
Dalam perbicaraan di mahkamah, Rosli Dhoby telah mengaku membunuh Gabenor British dengan menikam menggunakan badik. Pengakuan Rosli dalam  mahkamah tersebut dipercayai akibat pihak British telah mengugut akan menembak ibunya sekiranya dia enggan berbuat demikian.

Selepas beberapa bulan dalam penjara di Penjara Pusat Kuching, Jalan Tabuan, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya yang turut terlibat dalam pakatan 3 Disember itu, iaitu Morshidi Sidek, Awang Rambli  Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Jenazah mereka semua dikatakan dikebumikan  di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara  kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah terhenti secara  selepas kematian mereka berempat. (Namun ada waris Rosli Dhobi yang percaya bahawa mayatnya tidak ditanam di penjara itu, tetapi telah dibawa ke London untuk memenuhi permintaan keluar Sir Duncan Stewart yang telah dibunuhnya).
Setelah 46 tahun bersemadi di Penjara Pusat Kuching, pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak, berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu. Keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka telah diselimutkan dengan bendera negeri Sarawak, sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.

No comments:

Post a Comment