Thursday, 22 September 2011

Menilai Semula Sejarah (2)


Seringkali bila disebut sejarah kemerdekaan Tanah Melayu ini, maka nama Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman akan disebut sebagai tokoh yang memainkan peranan utama. Mereka berdua adalah pemimpin UMNO peringkat awal dulu. Bukan hendak dinafikan peranan mereka berdua, tetapi dijelaskan bahawa bukanlah mereka berdua sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan. Ada ramai lagi tokoh-tokoh lain yang sepatutnya disebut sama. Malah ramai tokoh-tokoh lain yang lebih ‘senior’, yang bergerak lebih awal dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Beberapa tahun dulu Allahyarham Rustam A. Sani pernah menulis tentang keperluan untuk menyusun semula fakta-fakta sejarah supaya generasi akan datang dibekalkan dengan fakta sejarah yang tulen dan lengkap. Mungkin kerana ada fakta-fakta sejarah yang sah yang selama ini tidak pernah pun ditulis dalam buku-buku sejarah di mana-mana peringkat, dari sekolah rendah sehingga ke menara gading. Fakta-fakta tersembunyi ini cuma ada pada orang-orang lama yang bilangannya semakin hari semakin berkurang. Apabila Rustam sendiri telah meninggal, maka dengan sendirinya kita kehilangan satu mata rantai yang penting. Kita tahu Rustam adalah anak kepada Ahmad Boestamam, seorang tokoh penting dalam sejarah kemerdekaan tanah air. Sudah tentu sebagai anak kepada tokoh penting ini, maka beliau mempunyai banyak fakta-fakta sejarah dalam bentuk ‘first-hand’. Betapa perlunya kita mengumpulkan orang-orang seperti beliau ini, dalam usaha untuk menyusun semula sejarah tanah air, membetulkan mana-mana fakta yang agak menyimpang, menambah mana-mana fakta yang selama ini terpinggir.
Jika sejarah kemerdekaan ini disusun semula, maka akan muncullah nama-nama seperti Ahmad Boestamam, Ishak haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob dan Ustaz Abu Bakar Baqir. Malahan juga nama tokoh-tokoh yang lebih awal seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain, perlu diangkat sama. Kita percaya di dalam rekod sejarah bukan hanya mereka yang dianggap berjaya mendapatkan kemerdekaan itu, malahan juga perlu direkodkan dari mana bermulanya perjuangan menuntut merdeka itu. Perlu dijelaskan juga siapa yang telah terkorban semasa berjuang melawan penjajah, perlu dijelaskan apakah benar merdeka negara ini diperolehi tanpa tumpah darah dan peluru.      
Berapa orang dari kita ini yang tahu tentang kisah pembesar Larut, Ngah Ibrahim yang menjadi saudagar bijih timah dan orang terkaya pada zamannya. Ramai hanya tahu bahawa Ngah Ibrahim adalah pembesar Larut yang memihak kepada salah satu kumpulan kongsi gelap Cina di Kamunting. Apa yang sebenarnya terjadi tidak diketahui ramai, sehingga cicitnya berjaya menemui kuburnya di Singapura beberapa tahun dulu dan berjaya memindahkannya ke Perak. Banyak lagi sejarah tentang tokoh-tokoh penting dalam sejarah dalam bentuk yang seperti ini, hanya diketahui dari mulut ke mulut, biasanya diambiltahu oleh anak cucu mereka sahaja. Begitulah kisahnya Mat Indera, yang selama ini pada anggapan masyarakat adalah seorang penganut komunis, padahal beliau itu adalah seorang ustaz. Ustaz jadi anggota parti komunis? Pelik bunyinya, tapi kita kena lebih teliti dalam membuat tuduhan, apatah lagi bila melibatkan soal aqidah seseorang. Bukanlah kita hendak membela sesiapa, tetapi bukankah elok jika kita dalam era merdeka ini, membuat penilaian semula semua fakta-fakta sejarah yang selama ini kita terima dari era penjajah. Penjajah sudah tentu tidak akan mengizinkan perkara-perkara tidak baik dikaitkan dengan mereka, tidak akan ada perkara baik tentang para penentang mereka. Dan begitulah yang mereka izinkan ditulis di dalam buku-buku sebagai fakta sejarah kita.
Persepsi penjajah British ialah, semua yang bangkit menentang mereka adalah pemberontak atau penderhaka. Itulah yang mereka catatkan sebagai bahan sejarah tanah air kita. Mereka sebagai penjajah sudah tentu tidak akan jujur dalam membuat perspektif itu demi kepentingan mereka. Maka ada antara kita menganggap Tok Janggut itu pemberontak, Mat Kilau itu pemberontak, Rosly Dhobi itu pembunuh, dan sebagainya. Diulangi, alangkah baiknya jika kita boleh membuat kajian semula, menyusun semula fakta-fakta sejarah, seterusnya dapat membentuk persepsi baru kepada tokoh-tokoh penting dalam sejarah kemerdekaan tanah air kita, persepsi yang lebih sepadan dengan martabat kita sebagai sebuah bangsa yang ‘sudah 54 tahun merdeka’.    

No comments:

Post a Comment