Tindakan kerajaan Malaysia menghantar pulang 11 orang pelarian Uygur amat-amat dikesali. Sebagai sebuah yang dimiliki oleh umat Islam dan sering diwar-warkan sebagai negara Islam contoh, apakah tidak boleh bertindak selari dengan status itu? Dengan alasan diplomasi G-to-G, maka kita gadaikan rasa persaudaraan sesama Muslim, tunduk kepada kerajaan China yang kita tahu telah melayan masyarakat Uygur dengan begitu teruk sekali. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia sepatutnya menggunakan haknya untuk melindungi pelarian Muslim Uygur ini, yang datang ke Malaysia untuk mencari suaka politik.
Mereka memilih negara ini sebagai destinasi mungkin kerana selama ini Malaysia gah dilaungkan sebagai negara Islam contoh dan moderate. Seharusnya kita berbangga jika negara kita ini dilihat sebagai tempat bergantung umat Islam. Namun kita yakin, dengan tindakan telah diambil ini, selepas ini pandangan umat Islam di luar sana, khususnya umat Islam Uygur, tidak akan lagi memandang tinggi kepada negara Malaysia ini. Malaysia akan dilihat sebaris dengan negara-negara Arab seperti Mesir dan sebagainya. Mesir itu kita tahu sentiasa menekan umat Islam Palestin kerana hendak menjaga hati Israel.
Lebih memalukan, tindakan Malaysia menghantar 11 orang pelarian Uygur pulang ke China ini telah mendapat bantahan oleh UNHCR sendiri. Malaysia sebenarnya mempunyai pilihan sama ada mahu memberi mereka suaka politik atau tidak menerima mereka. Jika kita bersetuju memberikan mereka suaka politk itu bermakna kita mempertahankan hak yang kita ada dan menunjukkan kita punyai keputusan yang tegas. Namun jika kita memilih untuk menghantar mereka pulang ke China, kita tidak dapat lari dari persepsi umum bahawa kita tunduk dan takut kepada China. Alasan diplomasi antara kerajaan tidak dapat diterima kerana kita sememangnya punyai hak untuk bertegas dalam membuat keputusan.
Ini menunjukakan dengan jelas bahawa kerajaan kita tidak meraikan persaudaraan umat Islam seperti yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment