Wednesday, 2 July 2014

Adab-adab Berbuka Puasa



ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.
Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Tuesday, 1 July 2014

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah


TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.
Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.

Thursday, 6 February 2014

Bangsawan Samseng

Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun ‘kononnya mulia’ dari segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah, presiden, dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi.

Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi.

Saturday, 27 July 2013

Sultan Abdul Hamid ll dan Dakwah Syeikh Muhammad Abdul Wahab



Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!” jawab orang Badwi itu tadi.

Monday, 10 December 2012

Sebuah Sajak Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.


Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?


Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
                                             


Monday, 19 November 2012

Israel Bakal Hancur!



Israel sangat takut apabila Presiden Bashar al-Assad jatuh, maka Syria akan jatuh ke tangan Ikhwanul Muslimin. Israel akan benar-benar terkepung. Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, apabila Bashar al-Assad jatuh, maka Syria akan jatuh ke tangan Ikhwanul Muslimin.

Israel seperti dikatakan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta, bahawa pasca revolusi di dunia Arab, nasib Israel benar-benar sangat buruk, dan terkepung dengan rejim-rejim baru, yang sangat tidak bersahabat dengan Israel. Israel harus melakukan pilihan berdamai dengan dunia Arab dan Palestin.

Kejatuhan Bashar al-Assad, sangat dikhuatirkan Syria akan jatuh ke tangan Ikhwan. Ini bererti Israel dikelilingi oleh kuasa yang dikendalikan oleh Ikhwan. Mesir, negara yang paling strategik kedudukan geopolitiknya, dan berpenduduk 87 juta, sekarang kuasa beralih ke tangan Ikhwan. Bersamaan dengan kemenangan Parti Kebebasan dan Keadilan, yang mencapai 40 peratus sokongan suara dari rakyat.

Thursday, 15 November 2012

Boikot Yahudi, Bina Jenama Sendiri



Bila Israel mengebom bumi Gaza, ramai juga dari kalangan umat Islam ini yang tampil menunjukkan prihatin. Baguslah begitu. Ada posting-posting di dalam facebook yang menganjurkan boikot terhadap produk-produk Israel. Saya pun ikut sama. Rasanya itulah yang terbaik buat masa ini.
Tetapi jika diperhalusi betul-betul, banyak produk-produk di sekeliling kita ini adalah dari keluaran syarikat-syarikat milik bangsa Yahudi. Ternyata perancangan Yahudi mengambilkira semua keadaan. Buktinya, jika umat Islam mahu boikot semua produk Yahudi, tentu menghadapi kesukaran kerana produk-produk Yahudi telah menjadi seakan-akan keperluan asas dalam hidup. Perlukah disebutkan jenamanya? Dari lampin bayi, susu bayi, pakaian, tak mampu disenaraikan semuanya…
Jadi persoalan ini bukan baru bermula. Bangsa Yahudi telah lama membina produk-produk mereka, membina reputasi, menguasai pasaran di seluruh dunia, membuatkan masyarakat dunia banyak bergantung kepada barangan keluaran mereka. Jikapun ada saingan dari produk selain dari mereka, tidaklah begitu menonjol. Apatah lagi dari produk umat Islam sendiri.

Saturday, 3 November 2012

LENIN, MARCOS, MUSTAFA KAMAL, MAO ZEDUNG DAN FIR’AUN



Suatu ketika dahulu heboh juga kisah  di kalangan masyarakat Kremlin membincangkan sama ada mahu mengkebumikan mayat Lenin yang diawet itu atau dibiarkan saja sebagai tontonan pemuja komunisme.
Sebelum itu media menyiarkan mayat Marcos yang diawet diziarahi balunya sempena ulang tahun kematiannya entah yang ke berapa kali. Balu Marcos, Imelda menunggu persetujuan kerajaan Filipina untuk mengebumikannya secara rasmi sebagai kematian seorang ketua negara Filipina.
Itulah kisah tentang dua mayat yang tidak dapat dikebumikan atas sebab ada manusia yang memujanya.
Selain mereka mayat Ataturk dan Mao Zedung juga tidak dikebumikan atas sebab pemujaan tadi.

Saturday, 13 October 2012

Anak Zina...


Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”
.


Thursday, 13 September 2012

Negeri Para Bedebah...

Puisi Oleh: Adi Masardi (Indonesia)

Tahukah kamu ciri-ciri negeri para bedebah?
Itulah negeri yang para pemimpinnya hidup mewah
Tapi rakyatnya makan dari mengais sampah
Atau jadi kuli di negeri orang yang upahnya serapah

Di negeri para bedebah
Orang baik dan bersih dianggap salah
Dipenjarakan
Menipu rakyat dengan pemilu menjadi lumrah
Karena hanya penguasa yang boleh marah
Sedang rakyatnya hanya bisa pasrah

Maka bila negerimu dikuasai para bedebah
Jangan tergesa-gesa mengadu kepada Allah
Karena Tuhan tak akan mengubah suatu kaum
Kecuali kaum itu sendiri mengubah

Maka bila negerimu dikuasai para bedebah
Usirlah mereka dengan revolusi
Bila tak mampu dengan revolusi,
Dengan demonstrasi
Bila tak mampu dengan demonstrasi, dengan diskusi
Tapi itulah selemah-lemahnya iman perjuangan

Wednesday, 8 August 2012

Kisah Ibnu Taimiyyah bertemu Raja Tartar

(aprisiasi kepada Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Wednesday, 25 July 2012

Syaitan Dibelenggu...

Hadis Muslim:
"Dari 'Uqail dari Ibnu Syihab, katanya: Aku diberitahu oleh Ibnu Abi Anas pemimpin kepada orang-orang dari kabilah Taimi mengatakan bahawasanya ayahnya memberitahu kepadanya bahawa Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Apabila telah masuk bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka jahanam, juga dirantailah semua syaitan"
Keterangan:
Dengan dirantai atau dibelenggu semua syaitan itu, semestinya tidak ada lagi kemungkaran dan kemaksiatan dilakukan, tetapi mengapa dalam bulan Ramadhan ini masih juga banyak orang berbuat keburukan itu?
Jawabnya:
Apa yang dilakukan oleh manusia tersebut bukan dari syaitan, tetapi dari jiwanya sendiri yang sudah biasa mengerjakan keburukan tadi, sehingga sukar meningggalkannya. Jadi ibarat luka, maka yang tampak dalam bulan Ramadhan itu adalah parutnya atau bekasnya. Namun sekalipun hanya parut, masih juga besar pengaruhnya terhadap diri orang itu.
WalLahu 'a'lam...