Wednesday, 3 December 2014

Islam ikut hujah, bukan ikut jubah...

ISLAM adalah agama yang dibina berdasarkan dalil, fakta dan hujah. Apa sahaja yang hendak dikaitkan dengan Islam, mesti dibentangkan bersama apakah dalil dan hujahnya.

Islam dibina atas keyakinan, bukan sangkaan. Dalil dan hujah yang menjadi rujukan utama Islam mestilah bersumberkan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Prinsip asas ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Prinsip inilah yang menjadikan Islam terpelihara daripada sebarang unsur kesyirikan, khurafat, bidaah, penyelewengan, pendustaan dan sebagainya. Jika ada sebarang kepercayaan, amalan atau saranan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi penyampainya gagal membawa dalil dan hujah yang menjadi sandarannya, maka ia tidak layak dikaitkan dengan Islam.



Islam telah sempurna

Islam adalah agama yang telah lengkap dan sempurna. Inilah jaminan yang diberikan sendiri oleh ALLAH SWT dalam firman-Nya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu". (Surah al-Maidah: 3)

Rasulullah SAW yang diutuskan oleh ALLAH tidak diwafatkan melainkan setelah sempurna tugas Baginda SAW menyampaikan ajaran Islam. Maka, selepas kewafatan Baginda SAW, tidak ada lagi ruang tokok tambah kepada ajaran Islam ini. Apa yang tidak menjadi ajaran Islam semasa zaman Baginda SAW, maka ia juga tidak menjadi ajaran Islam pada zaman ini.

Rasulullah SAW wafat dengan meninggalkan kita prinsip penting: "Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan dua perkara tersebut: Kitab ALLAH (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya". (Riwayat Muslim)

Apa sahaja yang ada kaitan dengan agama, pasti ada sumber dalil dan hujah yang akan menjelaskannya. Jika timbul isu-isu baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW, maka di sana adanya ruang untuk ijmak ulama dan qiyas. Ijmak dan qiyas ini juga dilakukan oleh ulama berdasarkan prinsip-prinsip asas yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah.

Kesempurnaan ajaran Islam ini adalah satu nikmat yang besar kepada kita. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga yang besar. Lihat sahaja kata-kata Salman al-Farisi kepada orang Yahudi apabila mereka berkata: "Demi sesungguhnya Nabi kamu telah mengajarkan kamu semua perkara sehingga cara membuang air!".

Salman berkata: "Benar! Nabi SAW telah melarang kami daripada menghadap kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang daripada beristinjak dengan tangan kanan dan melarang daripada beristinjak dengan kurang daripada tiga biji batu atau daripada beristinjak dengan najis kering atau tulang". (Riwayat Muslim)


Amal ikut ilmu, bukan ikut melulu

Kebenaran dalam Islam diukur berdasarkan kekuatan dan kesahihan dalil dan hujah yang dibentangkan. Bukan siapa yang membentangkannya. Semua manusia terdedah kepada kesilapan melainkan Rasulullah SAW yang maksum, dipelihara oleh ALLAH. Walau yang membentangkannya bergelar ustaz, mufti, imam mahupun habib. Kesahihan ajaran Islam bukan diukur dengan gelaran, tidak juga dengan pakaian, jubah dan serban.

Memakai jubah yang cantik, mengikat serban dengan kemas, menyangkut kain di bahu, membawa untaian tasbih di jari, orang ramai salam mencium tangan,  bertugas di jabatan agama, menubuhkan pertubuhan yang diberi nama islamik atau berkaitan ahli sunnah wal jamaah,  selalu bersiaran di televisyen dan radio, petah berceramah dan menyampaikan cerita, pandai menyanyi nasyid dan qasidah, ini semua bukan kayu ukur untuk menentukan kebenaran ajaran yang dibawa.

Selagi mana tidak dibawakan dalil dan hujah dengan cara pendalilan yang betul, maka kita berhak untuk bertanya apakah asas kepada kepercayaan atau amalan ini. Apakah dalilnya? Apakah hujahnya? Apakah amalan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat? Siapakah ulama muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah yang mentafsirkan ayat atau menghuraikan hadis ini dan sebagainya.

Kita bertanya kerana kita mahu berpegang dan beramal dengan ajaran Islam yang sahih. Bukan sekadar bertaklid buta tanpa dihiraukan hujah dan fakta. Kita hendak beramal berdasarkan ilmu bukan hanya ikut melulu.

ALLAH berpesan: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya". (Surah al-Isra’: 36)

Hormat dan beradab dengan ulama adalah akhlak Islam yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun, sikap hormat adab ini tidak menjadi penghalang atau menutup ruang kepada kritikan ilmiah atau bertanya kembali sesuatu pandangan yang dilontarkan.

Sikap inilah juga yang telah ditunjukkan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.


Didik masyarakat dengan dalil dan hujah

Golongan pendakwah, mufti, ustaz, pegawai jabatan agama seharusnya mendidik masyarakat dengan disiplin pegangan dan amalan Islam mesti berdasarkan dalil dan hujah yang sahih.

Justeru,  pendakwah juga semestinya terlebih dahulu bersiap sedia dengan ilmu, memahami dalil dan cara pendalilan yang betul sebelum disampaikan kepada orang ramai. Didik masyarakat supaya mengutamakan hujah dan fakta, bukan hanya berseronok ketawa dengan lawak jenaka dan cerita.

Sekiranya disiplin ini tidak dititik beratkan, kesucian dan ketulenan ajaran Islam boleh tercemar.

Contohnya ada dakwaan berkaitan agama yang disebarkan seperti tarikh berlakunya kiamat, mendakwa Rasulullah SAW hadir dalam majlis qasidah, tangan yang melambai-lambai dalam program qasidah tidak akan dibakar api neraka, memohon doa di kubur dengan orang yang telah mati, boleh bertemu dengan Rasulullah SAW secara sedar (yaqazah), berzikir sambil menari dan melompat-lompat, berzikir dalam gelap, menghina sahabat, memurtadkan ramai tokoh ulama dan banyak lagi yang tidak bersandarkan kepada dalil dan hujah yang sahih.

Islam mesti dipelihara ketulenannya daripada sebarang unsur syirik, khurafat dan bidaah. Islam yang kita mahu amalkan ialah Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah berdasarkan tafsiran dan kefahaman golongan salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin.

Dakwah Islam mesti mengajak masyarakat supaya memahami isi kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Hal ini perlu menjadi keutamaan. Jika tidak, kesucian dan ketulenan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah akan terpalit dengan kekotoran yang dibawa oleh ajaran Syiah, Ahbash, sufi dan tarekat yang melampau, liberal dan lain-lain lagi.

Kekuatan ajaran Islam berteraskan kekuatan dalil dan hujah bukan sekadar kecantikan serban dan jubah atau keasyikan alunan qasidah. Mantapkan ilmu, perkuatkan hujah, giatkan dakwah, ajak masyarakat kepada sunnah.


No comments:

Post a Comment