TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.
Seorang agamawan sama ada dia sarjana
besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika
huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka
ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak
mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang
tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka
berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan
sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka
tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan
mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian
lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang
agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan
agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai
contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang
melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung
dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku
ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah
menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu
mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah
al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku
menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan
tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata
seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari
al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan
berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini
datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku
mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang
dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam
al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun
kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala.
10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah
ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh
dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap
perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi
ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku
menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila
sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam
al-Nubala. 10/35).
Inilah imam yang agung. Melarang kita
taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian
juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada
orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga
mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak
terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang
tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak
membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita,
kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama.
Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak
bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang
menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut.
Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’
yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan
pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana
tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang
pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang
bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan
disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu
membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi
petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh
buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada
mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang
ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk
berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia
berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa
ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap
lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya
sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam
Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan
diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana
pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya,
penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah
mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang
bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang
sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata;
saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan
ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan
batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam
hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat
Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah
mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak
bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan
Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi
selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis
yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan
Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah
yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama
tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa
disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal
620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya
(ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian
sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan
air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau
panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).
Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas
membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan.
Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar
sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka
puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab
ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan
manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit
1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab
atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.
Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa
Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji
rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya
tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad
dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata
al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka
puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka
dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air
zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak.
Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak
hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda
menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan
berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh
kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal
dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan
dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu
fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah
al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan
jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau
tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum
adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh
bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh,
bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau
setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda
memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila
seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka
janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh
al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang
ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam
itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini.
Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya
pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan
emosi.
Dalam hadis disebut “Apabila telah
dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan
solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila
dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah
didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah
sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini
agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan
sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa
di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan
pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama.
Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan.
Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan
dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya
boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi,
Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa
pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara
tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama
tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk
mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena
Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.
Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan
al-sunah.
No comments:
Post a Comment