Saturday 27 July 2013

Sultan Abdul Hamid ll dan Dakwah Syeikh Muhammad Abdul Wahab



Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!” jawab orang Badwi itu tadi.

Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab “inilah dia syeikh aku, yang duduk di dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang sudah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Sehingga ke era pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1908) sentimen menyalahkan gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai punca keruntuhan Khilafah Othmaniyyah, tidak berlaku.
Manuskrip ini hanyalah salah satu daripada rujukan-rujukan yang perlu dilunaskan dalam memenuhi tuntutan pensejarahan berkaitan Daulah Uthmaniah dan gerakan Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Semasa kita pantas menggunakan istilah Wahhabi, apakah latar belakang sejarah istilah itu? Dari mana asal usulnya?

TOPIK SEJARAH, SEBELUM AQIDAH DAN FIQH
Sebelum isi kandungan buku, kitab, manuskrip, makalah, dibahaskan dalam topik Aqidah dan Fiqh, kesemua sumber rujukan itu adalah bahan rujukan sejarah. Sebelum bahan rujukan sejarah dipakai sebagai sumber maklumat sejarah, bahan-bahan itu perlu berhadapan dengan kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan berkenaan meliputi fizikal bahan rujukan, dakwat yang dipakai, kesesuaiannya dengan tarikh bahan tersebut, siapa penulisnya, adakah ia tulisan asal atau salinan kepada tulisan asal dan banyak lagi isu, semata-mata untuk menjelaskan: adakah bahan ini valid untuk dirujuk.
Setelah bahagian pertama ini selesai, maka kritikan dilakukan terhadap isi kandungan sumber tersebut, yakni fakta-fakta yang terkandung di dalamnya.
Topik Muhammad Ibn Abd al-Wahhab dan gerakannya bukan terbatas kepada topik Aqidah dan Fiqh, untuk langsung kita secara pantas membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahhabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, dari mana asal usulnya istilah tersebut dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahhabi itu sendiri. Sesungguhnya topik ini terlebih dahulu adalah topik Sejarah.
Jika seorang tuan guru alim di dalam Aqidah dan Fiqh, tetapi tidak menyempurnakan tuntutan pensejarahan yang berada di belakang sesebuah topik, tidak mustahil keadaan ini boleh memerangkap seorang alim dalam memperkatakan perkara yang beliau separuh tahu.

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [Al-Ma'idah 5:8]

1 comment: