Thursday 24 February 2011

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Bapanya Imam Rasu atau dikenali  sebagai Tok Gajah adalah seorang pendekar terkenal yang pernah berkhidmat untuk Sultan Ahmad, Sultan Pahang ketika itu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Namun ada juga yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan lebih awal dari itu iaitu pada tahun 1847.
Dalam usia 20an, Mat Kilau telah mengahwini Yang Chik dari Kampung Kedondong, anak kepada guru mengaji beliau iaitu Imam Daud. Imam Daud adalah seorang guru agama yang disegani di Pulau Tawar. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja
belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman atau Haji Botok yang merupakan mufti Pahang ketika itu. Keilmuan dan ketokohan beliau telah menjadikan Mat Kilau seorang yang disegani dalam masyarakat ketika itu.
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut pendapat orang-orang tua di situ, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta banyak dikaitkan dengan dengan unsur mistik oleh masyarakat setempat. Beliau mempunyai ramai pengikut, antaranya ialah Pawang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Khatib Mat Ali, Imam Awang dan Mat Tahir, yang sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
Mat Kilau menyertai perjuangan menentang penjajah British di Pahang antara 1891 hingga 1895 yang dipimpin oleh bapanya sendiri Tok Gajah, Panglima Kakap dan Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan. Akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura telah menyiarkan berita Datuk Bahaman yang digelar “Ketua Penderhaka” telah ditangkap oleh kerajaan Siam pada bulan Oktober 1895 dan Mat Kilau pula telah cedera parah dalam pertempuran dan telah mati dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Ramai yang berpendapat riwayat Mat Kilau telah tamat apabila tersiarnya berita kematian beliau dalam akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Jusoh Rimau, Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim, Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Selain itu ada juga versi yang mengatakan kematiannya akibat diserang oleh askar Siam semasa beliau berada dalam satu majlis di Kelantan. Status 'penderhaka' oleh Inggeris memaksa Mat Kilau menyembunyi diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Akhirnya beliau menetap di Batu 5 Jalan Kuantan-Gambang. Dalam tempoh itu juga beliau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Siam atau Mohamad bin Ibrahim telah pergi ke masjid di Kampung Masjid Pulau Tawar untuk menunaikan solat Jumaat. Selepas sembahyang, Mohamad pemegang kad pengenalan Malaysia bernombor 2044778 telah membuat kejutan apabila mengisytiharkan bahawa beliau sebenarnya adalah Mat Kilau.
Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang ketika itu YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman bersejarah itu dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran dalam usianya dipercayai mencecah 122 tahun.

2 comments:

  1. pada masa dahulu ada jalan denai dari Pahang ke Kelantan yg digunakan oleh orang2 Melayu ketika itu, walaupun sgt jauh dan berhutan, tp orang2 Kelantan dan Pahang masih blh berhubung....

    ReplyDelete