Monday 14 February 2011

Maulidur Rasul 12 Rabi'ul Awal?

Telah menjadi kelaziman di negara ini menjelang 12 Rabi’ul Awal setiap tahun, sambutan Maulid Rasul menjadi agenda penting malah tarikh itu telah ditetapkan sebagai cuti umum. Di sebalik kecintaan tidak berbelah bahagi kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w, kita seharusnya berpegang kepada sandaran yang kukuh dalam setiap amalan beragama kita supaya apa juga ibadat yang kita lakukan bertepatan dengan ajaran baginda.



Walaupun tarikh 12 Rabi’ul Awal telah diterima masyarakat kita sebagai hari Maulid Nabi s.a.w (dan juga hari wafatnya Muhammad s.a.w), ramai yang tidak mengetahui bahawa pendapat yang menyatakan bahawa Nabi dilahirkan pada tarikh tersebut adalah lemah. Tarikh 12 Rabi’ul Awal mula dipopularkan oleh Ibnu Ishaq, yang menurut ulama-ulama hadis adalah seorang yang lemah dalam riwayatnya. Imam an-Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat, Daruqutni mengatakan hadisnya tidak boleh dijadikan hujah, malah Imam Malik mengatakan bahawa dia adalah pembohong besar.

Hadis Ibnu Ishaq yang mengemukakan 12 Rabi’ul Awal sebagai tarikh Nabi s.a.w dilahirkan juga tidak disebutkan sanad ambilannya. Maka kebanyakan ulama menganggap bahawa dia hanya ingin menonjolkan 12 sebagai nombor keramat yang sering dikaitkan dengan kepercayaan Syi’ah Imam Dua Belas yang dianutinya. Ya, 12 Rabi’ul Awal yang kita rayakan saban tahun ini sebenarnya berpunca dari hadis ‘ulama’ Syi’ah!

Pendapat yang lebih kuat dan sahih bagi tarikh kelahiran Nabi Muhammad ialah pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awal Tahun Gajah. Demikian pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir dan ramai lagi. Pendapat ini disokong oleh penyelidikan Mahmud Pasya, seorang ahli falak terkenal, dalam penyelidikannya untuk menentukan tarikh gerhana matahari dan bulan yang berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin bulan Rabi’ul Awal itu tidak mungkin bertepatan pada 12 hari bulan, tetapi bertepatan 9 haribulan. Mengikut perkiraannya tarikh kelahiran Nabi ialah 20 April 571 bersamaan 9 Rabi’ul Awal Tahun Gajah.

Dalam Sahih Bukhari disebutkan ketika putera Rasulullah s.a.w iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari, iaitu pada tahun ke-10 Hijrah, ketika itu Rasulullah berusia hampir 63 tahun. Mengikut perkiraan falak, tarikh tepat gerhana matahari tersebut ialah pada 7 Januari 632 Masihi, jam 8.30 pagi. Jadi jika kita undur 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka jelas tahun kelahiran Nabi ialah pada 571 Masihi.

Berkenaan dengan tarikh kewafatan Nabi s.a.w pula, berlaku juga pertikaian antara ulama, tetapi pendapat yang paling kuat ialah pada 25 Mei 632 Masihi bersamaan dengan hari Isnin, 1 Rabi’ul Awal tahun 11 Hijrah, bukan 12 Rabi’ul Awal seperti anggapan ramai.

Dengan ini kita mengharapkan supaya ketetapan hari Maulid Rasul yang diisytiharkan sebagai cuti umum perlu dikaji semula kerana amatlah malang dan memalukan kita umat Islam jika kita merayakan suatu hari bersejarah yang begitu penting walhal ia bukanlah tarikh yang sebenar.

2 comments:

  1. Maulana Asri, ulama hadis dari Kelantan juga berpendapat sedemikian...

    ReplyDelete
  2. saya juga mendapat maklumat awal ttg tarikh ini dari tulisan Maulana Asri dalam akhbar beberapa lebih kurang 10 tahun lepas...

    ReplyDelete