Saturday 19 February 2011

Leftenan Kolonel Zulkifli Awnie

Pernah dengar nama Zulkifli Awnie? . Beliau adalah pegawai memerintah tentera Medan, Indonesia, dengan pangkat Leftenan Kolonel Zulkifli Awnie. Jadi apa kena mengena nama ini dengan kita rakyat Malaysia? Walaupun ramai yang tidak mengenalinya malahan tidak pernah mendengar namanya, namun beliau sebenarnya merupakan satu tokoh penting yang terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara kita. Ya, beliau berasal dari Malaysia, dilahirkan di Bekor, Daerah Manung, Perak.
Zulkifli mendapat pendidikan sekolah Melayu di Bekor, Manung dan pendidikan agama di Madrasah al-Masriyah Bukit Mertajam. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah al-Jami’atul Wasliyah di Medan, tempat asal bapanya. Kembali semula ke Tanah Melayu pada 1938 dan mengikuti tarekat suluk Naqsyabandiah di madrasah bapanya di Belanja, Parit. Ketika meletus perang Jepun tahun 1941, beliau menubuhkan syarikat perniagaan orang-orang Melayu di pekan Manung, antaranya menjalankan perniagaan kedai runcit. Ketika itu beliau telah memegang beberapa jawatan dalam gerakan masyarakat setempat. Zulkifli pernah ditahan selama 10 hari di balai polis Kuala Kangsar kerana menyertai gerakan mogok para peniaga (Hartal) berikutan kedatangan semula British di bawah pentadbiran BMA.  Selepas itu beliau menubuhkan syarikat Rakyat Trading Co.Ltd yang menerbitkan “Harian Rakyat”.
Zulkifli telah aktif dalam gerakan menuntut kemerdekaan lebih awal dari Dr. Burhanuddin al-Helmi menubuhkan parti politik pertama iaitu PKMM. PKMM ditubuhkan selepas kekalahan Jepun pada 1945 di Ipoh.  Sebagai individu yang telah terlibat secara langsung, tentunya Zulkifli menjadi antara tenaga penting dalam perjumpaan pertama parti itu di Ipoh. Dalam perjumpaan itulah, buat pertama kali dalam sejarah, perkataan “merdeka” telah dilaungkan oleh Ahmad Boestamam.  Pada masa itu Zulkifli Awnie telah dilantik oleh Dr. Burhanuddin sebagai setiausaha agung. Pada tahun 1948 beliau telah berpindah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat sepenuh masa di pejabat PKMM, di mana berhimpunnya nama-nama besar pejuang kemerdekaan seperti Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Melan Abdullah, Rahman Rahim, Dahari Ali Abdul Wahab Majid dan lain-lain.
Selepas itu Zulkifli berpindah ke Singapura bersama Dr. Burhanuddin kerana gerakan rakyat lebih rancak di sana dan bergabung pula dengan Taha Kalu, Osman Kalam, A.Samad Ismail, Megat Ramli Majid, Kris Mas dan lain-lain.  Di Singapura inilah bermula hubungannya dengan gerakan ketenteraan Indonesia, di mana beliau telah menggunakan kecekapannya menyeludup senjata api ke sana untuk membantu TNI menghadapi ancaman Belanda. Pada ketika itu, perjuangan kemerdekaan bagi Indonesia dan Tanah Melayu dikira sama atau perjuangan yang satu. Berjuang mempertahankan kemerdekaan Indonesia dikira sama sahaja dengan perjuangan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Semangatnya untuk bergabung dengan perjuangan TNI untuk mempertahankan kemerdekaan Indonesia begitu kuat.
Apabila British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948, ramai pemimpin PKMM yang berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British telah ditahan. PKMM dan parti-parti kiri lain telah diharamkan oleh British.  Kerana itu gerakan mereka menjadi perlahan seketika. Oleh kerana pada masa yang sama Indonesia dalam keadaan terdesak, maka beliau telah memilih untuk meneruskan perjuangannya di Medan, Sumatera dan menyertai TNI. Berpindah ke Indonesia pada masa itu sama seperti berpindah dari satu bandar ke bandar lain di Tanah Melayu, seperti berpindah dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur, dari Kuala Lumpur ke Singapura. Menyertai TNI samalah seperti menyertai  Askar Melayu.
Jika hendak dititipkan sejarah perjuangannya bersama TNI sendiri tentulah panjang. Nyatanya beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga mencapai kedudukan sebagai Leftenan Kolonel dan telah menerima banyak anugerah kerajaan Indonesia.
Zulkifli Awnie sememangnya merupakan individu penting dalam mencetuskan perjuangan kemerdekaan negara kita, tetapi setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, siapa mengenalinya? Siapa mengetahui kisah perjuangannya? Zulikifli Awnie, pejuang kemerdekaan dua negara, Malaysia dan Indonesia telah meninggal pada tahun 2001 di Medan dan dikebumikan di Makam Pahlawan:suatu penghormatan tinggi bagi seorang pejuang.

2 comments:

  1. saya sendiri tidak pernah bertemu dengan LetKol Zulkifli, segala maklumat saya berterima kasih kepada Tuan Haji Subky Abdul Latif yg sudi menumpahkan pengalamannya untuk dikongsi bersama generasi muda...

    ReplyDelete
  2. rugi ya kalau tokoh hebat seperti ini dilupakan begitu sahaja...
    tapi jika beliau terus menetap di negara ini, adakah kita akan mengenang dan menghargai jasa2 dan pengorbanan beliau? atau dilupakan begitu sahaja seperti ramai pejuang2 lain, seperti Yusof Rono hero Bukit Kepong tu...

    ReplyDelete