Tuesday 1 February 2011

Tuan Guru Haji Sulong

Pernahkah saudara dengar nama Tuan Guru Haji Sulong bin Abdul Kadir? Nama yang tidak dapat dipisahkan dari perjuangan pembebasan Pattani yang mengasaskan Gerakan Rakyat Pattani(GRP). Ketika itu beliau adalah Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Pattani. Jika dilihat kepada susur galur keturunannya, jelas beliau memang berdarah ulama. Beliau adalah cicit kepada ulama Tuan Minal atau Haji Zainal Abidin Ahmad (pengarang kitab Kashful Litham dan Aqidatul Najin yang terkenal).


Semasa masih menuntut di Mekah, beliau banyak menerima pengaruh dari gerakan Islam Timur Tengah seperti Ikhwanul Muslimin (Mesir) Gerakan Mahdi (Sudan) dan gerakan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab di Arab Saudi, yang pada masa itu sedang melancarkan penentangan terhadap imperialis Barat. Jadi jiwanya telah diasuh untuk membebaskan tanah airnya Pattani dari belenggu penjajahan.

As-syahid Haji Sulong telah mengasaskan Madrasah al-Ma’arif al-Watoniyyah, yang merupakan sekolah agama pertama di Pattani yang mempunyai sukatan pelajaran dan sistem kelas. Para pelajarnya juga diperkenalkan dengan latihan berkawad. Pembaharuan yang dibawa oleh beliau ini diterima baik oleh masyarakat Pattani pada ketika itu yang menjadikan pondok sebagai institusi penting dalam penyebaran ilmu dan pusat aktiviti kemasyarakatan. Para pelajarnya diajar kitab-kitab seperti ‘Baidhowi’ dan ‘Jalalein’ dan banyak menjurus kepada konsep aqidah dan jihad. Namun sayang kerana madrasahnya itu hanya bertahan kira-kira 3 tahun apabila telah dibubarkan kerajaan Thai yang curiga dengan perkembangannya, malah hasil karyanya yang terakhir “Gugusan Cahaya Keselamatan” turut diharamkan.

Haji Sulong bukan sahaja giat mengajar dan mengarang tetapi lebih masyhur kerana keberanian beliau memperjuangkan nasib Muslim Pattani pada era rejim Phibun Songkram.

Pada tahun 1947, GRP telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan Siam berhubung dengan dasar di Selatan Thai yang terdiri dari empat wilayah (Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun). Antara tuntutannya ialah 4 wilayah tersebut mesti ditadbir oleh pemimpin Islam yang terpilih. Beberapa tuntutan itu dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Pridi Panomyong tetapi peralihan kuasa kepada rejim Pibun Songkram telah menjadi episod memilukan bagi umat Islam Selatan Thai.



Pada 16 Jun 1948, Haji Sulong telah ditahan dan didakwa sebagai pengkhianat. Penahanan beliau telah membawa kepada beberapa pemberontakan berdarah orang Melayu Pattani. Keputusan perbicaraan terhadap beliau menggugurkan tuduhan pengkhianat, tetapi beliau disabitkan menghina kerajaan dan dihukum penjara 7 tahun. Namun beliau dibebaskan selepas 3 tahun setengah. Selepas dibebaskan, lidah beliau menjadi kelu dan tidak dapat bertutur seperti biasa, dipercayai akibat didera dengan teruk semasa ditahan. Penentangan berterusannya terhadap dasar kerajaan Siam “Thai Rathnaniyun” telah membawa kepada ‘pembunuhan’ beliau yang penuh misteri, di mana beliau telah diminta hadir bertemu ketua penyiasat polis di Songkhla. Beliau telah memenuhi permintaan tersebut dengan hadir ke Songkhla, tetapi selepas itu beliau tidak lagi kembali. As-syahid dikatakan telah dibunuh oleh kerajaan pada Ogos 1954 dan mayatnya telah dibuang ke laut.

6 comments:

  1. semoga perjuangannya tetap diingati oleh generasi akan datang...

    ReplyDelete
  2. Haji Sulong tidak begitu dikenali ramai walaupun telah mengorbankan nyawa nya untuk membela umat Islam di Selatan Thai...

    ReplyDelete
  3. berjhad di jalan Allah adalah tingkat keimanan yang paling tinggi tarafnya...

    ReplyDelete
  4. kita mungkin terlalu jauh untuk ke thp itu...jihad melawan nafsu pun kita masih tertewas

    ReplyDelete
  5. salam saudara.bagaimana jika saya berkehendakan kitab "gugusan Cahaya Keselamatan".. satu lagi..kitab Jawahir al-kalamiyyah karya Tok Bermin..emel saya red_vikof@yahoo.com.my

    ReplyDelete