Tuesday 13 March 2012

Kebebasan Berpakaian



Peranchis sudah memperundangkan betapa guru-guru dan murid-murid perempuan tidak dibenarkan berhijab semasa ke sekolah dan undang-undang itu juga melarang wanita Islam menutup kepala semasa bertugas. Jerman juga membuat peraturan yang sama melarang guru perempuan bertudung, tetapi tidak pula mengenakan syarat serupa kepada murid-murid perempuan yang memilih peraturan berpakaian Islam itu.
Latar belakang peraturan itu kononnya ialah bangsa Eropah itu tidak mahu mengenengah simbol agama ditonjolkan di tengah masyarakat berbilang agama, budaya dan kepercayaan itu.
Perancis telah lama memperkenalkan dasar anti berpakaian Islam itu yang dipelopori oleh kesatuan sekerjanya.

Pelajar-pelajar wanita Muslim yang melanjutkan pengajian di sana tentunya lebih maklum dengan situasi sebegini. Memang ada tekanan kepada mereka tetapi mungkin tidaklah dihebohkan kepada umum, mungkin atas sebab-sebab tertentu. Sebahagian juga mungkin mengambil jalan mudah, meninggalkan (menanggalkan) tudung bagi mengelakkan menghadapi tekanan sebegitu. Tanpa merujukkan satu nama, rasanya kita boleh menunjukkan contoh kes seperti itu.


Perancis adalah antara negara tamadun Eropah yang paling awal membebaskan amalan diskriminasi agama, kulit dan kaum. Orang kulit hitam keturunan Afrika telah lama mendapat layanan yang sama seperti rakyat kulit putih. Cendikiawan Islam yang merasa tersepit untuk melahirkan fikiran Islamnya di negara asal ramai yang berhijrah ke Perancis kerana kebebasan menyatakan pandangan dan memilih cara hidup bebas subur di Perancis.
Justeru itu dunia menerima Paris sebagai pusat kegiatan UNESCO, pertubuhan pendidikan, sains dan kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tetapi Perancis sudah tidak menjadi negara yang terbuka lagi. Ia mundur. Mindanya mula tertutup. Yang terbuka cuma pakaian.

Jerman juga memberi kebebasan kepada semua orang memilih pakaian yang disukai. Sejak berpuluh-puluh tahun Jerman menjadi syurga pekerja asing terutama dari Turki. Pernah satu ketika ‘gast arbaitor’ dari Turki mencecah angka empat juta orang. Antara yang membantu Jerman berbangga dapat membangunkan ekonomi yang mengkagumkan selepas perang dunia kedua adalah dari keringat dan peluh rakyat Turki.

Bangsa Turki selepas Ataturk tidak berpegang kuat kepada agama Islam. Apa lagilah yang berhijrah ke Jerman. Tetapi Islam menentukan peraturan berpakaian. Para hoja – guru agama – tidak dapat memaksa penganut Islam mengikut disiplin pakaian Islam terutama di Eropah. Jerman memberi kebebasan kepada pemastautinnya memilih pakaian. Kebelakangan ini wanita Turki memilih berpakaian secara Islam. Wanita Islam yang memilih pakaian secara Islam bertambah.

Tetapi Jerman juga mulai keliru. Ia memberi kebebasan kepada orang ramai membuat pilihan, tetapi masing-masing hanya bebas memilih mendedahkan aurat, tetapi tidak begitu bebas memilih menutup aurat. Wanita boleh mendedahkan pangkal peha dan mempamerkan sebahagian dari bentuk payu dara, tetapi tidak bebas menutup leher dan kepala.


Di Malaysia juga terdapat orang-orang yang mendakwa berfikiran terbuka mahu setiap pihak diberi pilihan menentukan pakaian masing-masing. Dalam suasana rakyat bebas memilih pakaian itu, maka bertambah ramai yang memilih berpakaian secara Islam. Wanita mulai melucutkan skirt dan memilih berseluar, berbaju labuh dan bertudung lingkup. Hatta ada yang selesa menutup muka. Berserban, berjubah dan berkopiah putih bukan lagi sutu pakaian janggal bagi laki-laki.
Ini suatu fenomena baru yang melanda, heboh diperkatakan masyarakat, lebih-lebih ia melibatkan nama-nama masyhur dari kalangan artis.

Kalau pakaian ke pejabat mesti kemas dan bertali leher,  ramai yang mematuhi arahan itu tetapi mungkin di dalam hati, jika diberi pilihan akan memilih untuk berketayap.
Masyarakat terbuka Malaysia juga memberi pilihan sama ada mahu berkumis atau berjanggut atau tidak berjangut dan tidak bermisai. Masyarakat Islam mengingatkan sama sendiri supaya tidak mendedahkan aurat, pilihlah apa jua dirasakan selesa.
Kita menghormati pendirian orang-orang yang tidak bersetuju memaksa semua orang mesti berjubah dan berkopiah putih. Kita juga menghormati pendirian supaya wanita menutup itu memilih pakaian Melayu dan apa jua fesyen tradisional. Ia selari dengan kehendak individu menentukan fesyen pilihannya. Tetapi yang mengecewakan  ialah orang yang tidak mahu dirinya dipaksa berkopiah putih dan berserban, tidak pula bersetuju memberi pilihan kepada orang yang memilih berkopiah putih berkopiah putih dan berjubah.


Dia tidak suka orang memaksa orang lain mesti bertudung dan mesti berserban, tetapi bila anaknya memilih bertudung lingkup, dia marah anaknya memilih bentuk pakaiannya. Ada bapa mengugut hendak memberhentikan anak gadisnya yang belajar di London kerana memilih bertudung.

Jika kita sendiri tidak suka berjubah, bertudung, berkopiah atau berserban ( dan kita tak suka dipaksa), maka kenapa pula kita tidak mahu menghormati pendirian orang-orang yang mahu memakainya? Jika begitu, maka pokok persoalannya bukan kebebasan berpakaian yang kita mahukan, tetapi persepsi negatif yang sedia bersarang di dalam kotak fikiran kita….


1 comment:

  1. Suara yang perlu dilanjutkan. Supaya pakaian kerja pejabat tidak lagi mencerminkan negara Jajahan British.

    ReplyDelete