Sunday, 12 February 2012

Dulu Anti-Yahudi, Kini Anti-Islam


Semoga dijauhkan Allah! Janganlah disamakan malang yang menimpa orang Yahudi berabad-abad di Eropah dulu, menimpa pula umat Islam kini. Apa yang berlaku dan dilakukan oleh penduduk Eropah kepada keturunan Yahudi dulu, seolah-olah mula dilakukan pula oleh keturunan yang sama terhadap umat Islam yang menjadikan Eropah atau dunia barat sebagai tempat hidup mereka.

Dunia seluruhnya dulu dan sekarang mengutuk layanan orang barat kepada keturunan Yahudi yang menjadi warga negara-negara Eropah baik di mana saja. Orang-orang berdarah Yahudi yang menumpang tinggal di Eropah ketakutan dan tidak nyenyak tidur, fobia akan gangguan orang-orang Eropah. Mereka diganggu, dianiaya, diancam, diapakan saja secara tidak berperi kemanusiaan, malah dibunuh.
Apa kesalahannya? Ialah semata-mata kerana dalam darah mereka itu mengalir zuriat Yahudi dan mereka menganut agamanya. Hatta pemimpin terkemuka Menshevik, kumpulan radikal marxis Rusia yang minoriti, Leon Trotski enggan menerima tawaran Lenin untuk menjadi Presiden pertama Soviet Union kerana dia berketurunan Yahudi. Menshevik digabungkan dengan Bolshevik pimpinan Lenin membentuk Parti Komunis Rusia dengan Lenin dan Trotski sebagai dwi pimpinannya. Kalau Lenin menjadi pimpinan revolusi marxis Rusia, Trotski adalah pencetusnya. Setelah Soviet Union dibentuk Lenin mencadangkan supaya Trotski menjadi ketua negara dan ketua kerajaan.
Trotski menolak kerana pertama dia berketurunan Yahudi dan kedua kerana tidak mahu Lenin yang menjadi ketua parti berada di luar kerajaan.
Menjadi ketua kerajaan Soviet Union adalah satu kuasa besar dunia yang sangat berpengaruh dalam dan luar negeri, tetapi kerana dia keturunan Yahudi, dia tetap khuatir atas prejudis bangsa Eropah terhadap Yahudi.

Walaupun pada idealnya komunisme meleburkan batas ras dan perkauman, tetapi pemimpin komunis itu tetap terbawa-bawa dengan ancaman dan igauan fobia anti-Sematik yang sangat tebal di sanubari kebanyakan orang Eropah selama berabad-abad.
Tempat yang selamat bagi bangsa Yahudi selama-lamanya ialah di negara-negara Islam. Sekalipun Islam dari segi akidahnya melihat Yahudi sebagai yang tidak dikehendaki, tetapi keadilan Islam tidak memusuhi orang yang berdarah Yahudi, apa yang dicurigai umat Islam cuma pemikiran zionisme yang ada di setengah kalangan orang Yahudi.
Bagaimanapun tiada undang-undang anti-zionis di bumi umat Islam. Tiada Yahudi dihukum dan diburu kerana menjadi Yahudi. Tetapi Yahudi yang dihukum kalaupun ada ialah kerana jenayah yang dilakukannya. Nikmat ini tidak dirasai oleh Yahudi Eropah sebelum tamat Perang Dunia kedua.


Sikap anti-Yahudi kira-kira hapus di Eropah selepas Nazi Hitler dan Jerman kalah dalam perang dunia kedua. Pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berperanan memupuk dunia sama berdaulat dan cuba menghapuskan sebarang prejudis ras, warna kulit, kepercayaan agama dan ideologi politik.
Tetapi selepas pembentukan Kesatuan Eropah dan lahirnya Parlimen Eropah, seluruh bangsa Eropah digerakkan ke arah melahirkan nasionalis Eropah, maka perlahan-lahan ia membenarkan menjelmanya semula rasa prejudis terhadap orang bukan Eropah dan bukan barat.

Eropah dan Amerika justeru menganuti agama yang sama iaitu Kristian semacam kembali ke era sebelum Perang Dunia kedua, prejudis kepada bukan barat yang ramai mendiami Amerika dan Eropah. Prejudis itu tidak lagi dihalakan kepada Yahudi, tetapi dihalakan kepada Islam.
Apa yang dihadapi oleh keturunan Yahudi berabad-abad itu, mulai dirasai oleh orang Islam terutama selepas kejadian 11 September 2001 di Amerika dan selepas peletupan keretapi bawah tanah London 7 Julai 2005.

Orang Islam dipandang serong, dianiaya, diperhatikan 24 jam sehari, diadakan undang-undang anti keganasan yang mudah dikira undang-undang anti-Islam. Eropah dan Amerika dengan ini tidak lagi menjadi dunia yang selesa bagi orang Islam.
Perubahan dari anti-Sematik kepada anti-Islam tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia bukan natijah selepas tragedi 11/9 tetapi sudah bermula lama. Benih penyakit Eropah itu sebenar tidak pernah hapus dari benua itu. Ia tidak dilihat anti-Sematik bukan kerana Eropah berfikiran demokratis, tetapi lebih takut kepada Yahudi yang menguasai kewangan, ekonomi dan politik dunia.


Yahudi adalah kebal di Eropah. Tidak Jerman boleh menyentuh ketidakadilan individu Yahudi di negara itu, melainkan tindakan akan dikenakan kepadanya. Lazim tindakan yang melibatkan pekerjaan. Kekebalan itu menyebabkan sikap anti-Sematik tidak berbangkit.
Anti orang asing masih ada secara sistematik sejak Eropah tidak dapat menerima Turki sebagai sebahagian dari Eropah sekalipun Turki adalah negara sekular dan anti-Islam sejak 1920an. Hingga kini Kesatuan Eropah membakul sampahkan permohonan Turki untuk menyertainya.

Kemenangan Mujahidin di Afghanistan, kemunculan Revolusi Khomeini di Iran, kemenangan FIS pimpinan Abbas Madani yang dikuti oleh perang saudara di Algeria menguatkan konspirasi anti-Islam. Dalam diam-diam kesatuan buruh dan seumpamanya menggesa peraturan anti semua agama tetapi disorokkan sebagai anti-Islam.
Pekung penyakit barat itu tidak dapat disorokkan apabia tercetuskan apa yang dikatakan ethnic cleansing yang membunuh orang Islam beramai-ramai di Bosnia awal 1990an. Ia dibiarkan beberapa ketika. PBB tidak menunjukkan keupayaannya menghentikan pembersihan terhadap etnik Islam oleh etnik Kristian Slavia.
Apabila rakyat Bosnia dibantu oleh sukarelawan asing menunjukkan ia mula menguasai peperangan, maka segera Eropah dan Amerika mengambil tindakan segera membendung peperangan itu.

Ketegangan di wilayah-wilayah lain di Balkan dan prejudis terhadap Islam di beberapa negara Eropah seperti Bulgaria, Romania menguatkan lagi api anti-Islam di Eropah yang maju.
Perang Teluk yang pertama yang menyatukan dunia barat terhadap Iraq menyebabkan orang Islam di Eropah tidak senang terhadap setiap kerajaan di Eropah. Ia menyebabkan ada individu Islam yang tidak puas hati membuat tindakan sendiri.


Peristiwa 11/9 dan reaksi Presiden Bush yang melancarkan crusade anti keganasan di seluruh dunia secara  rasmi menghidupkan semula anti etnik bukan Eropah di kalangan bangsa-bangsa Eropah. Ia hidup di bawah naungan Kesatuan Eropah.
Charles de Gaule dan Konrad Adineuar yang mempelopori pembentukan Pasaran Bersama Eropah yang menjadi asas pembentukan Kesatuan Eropah berjaya menyembunyikan rasa anti-Islam sebagai ganti anti-Sematik Eropah tetapi pimpinan Jacque Chirac dan Tony Blair mendedahkan bahawa wajah anti-Islam adalah sifat ketara Eropah. Ia akan galak lagi selepas Jerman dapat tempat dalam Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota t etap.

Adakah ini yang menggembirakan Kesatuan Eropah?

No comments:

Post a Comment