Setiap kali harga minyak dunia naik melambung maka sudah
tentu ia terlalu membimbangkan dunia dan sekali gus ia mengancam ekonomi negara
yang belum benar-benar pulih. Oleh kerana ekonomi setiap negara di dunia saling
bergantung, maka ekonomi Malaysia yang ikut menjadi global tidak dapat lari
dari masalah dan kepayahan yang dihadapi dunia. Tetapi Malaysia juga adalah
sebuah negara pengeluar minyak yang tidak menjadi anggota OPEC. Sepatutnya
kebimbangan yang dunia alami itu tidak sampai memberatkan sangat kita kerana
Malaysia adalah negara pengeluar minyak.
Dari awal minyak ditemui di Malaysia, rakyat diberi tahu bahawa minyak kita adalah jenis yang lebih baik. Justeru itu Malaysia sangat selesa mengekspot minyak kesemuanya dengan harga yang lebih baik dan mengimpot minyak luar yang lebih murah untuk kegunaan tempatan. Minyak asing yang digunakan itu murah dari minyak sendiri. Alangkah untungnya Malaysia menjual minyak sendiri dengan harga lebih tinggi dan membeli minyak asing yang murah.
Apabila setiap kali harga minyak dunia naik, maka Malaysia mendapat tambahan keuntungan. Terengganu dalam pentadbiran PAS dulu merasa sekali tambahan royalti minyak mencecah hampir satu billion berikutan kenaikan harga minyak dunia. Lepas itu royalti untuk rakyat Terengganu itu dirampas oleh kerajaan pusat pimpinan Dr. Mahathir dan pentadbiran Datuk Seri Abdullah Badawi meneruskan rampasan itu.
Lazimnya mana-mana kerajaan yang pro-rakyat yang membekalkan minyak runcit murah untuk kegunaan rakyat. Brunei misalnya masih rendah harga minyak runcitnya dibandingkan dengan Malaysia.
Tetapi Malaysia nampaknya belum mampu memberi minyak yang murah kepada rakyat sekalipun pengeluaran minyak negara bertambah. Malaysia menaikkan harga minyak apabila harga minyak dunia naik. Sejak tahun 2005 hingga kini saja entah berapa kali harga minyak dinaikkan.
Tidak ada yang dapat dikatakan oleh pengguna di negara yang tidak berminyak seperti Thailand, Singapura dan Filipina misalnya apabila negara masing-masing menaikkan harga minyak apabila minyak dunia naik. Tetapi Malaysia adalah pengeluar minyak dan mengapa pula mesti menaikkan juga minyak runcitnya? Malaysia mendapat untung besar dari kenaikan minyak dunia. Dan tentunya Malaysia tidaklah sesulit Thailand, Filipina dan negara-negara bukan pengeluar minyak apabila harga minyak dunia tinggi.
Malaysia masih beroleh untung dengan krisis minyak dunia kerana minyak yang dibelinya lebih murah dari minyak sendiri yang dijual. Sepatutnya kerajaan memberi peluang kepada peruncit tempatan membeli minyak sendiri dengan harga yang murah dan memperuntukkan sebahagian dari minyak yang dikeluarkan itu untuk kegunaan dalam negara. Ia boleh menjual selebihnya kepada dunia dengan harga dunia yang tinggi.
Minyak yang Allah anugerahkan itu adalah untuk dinikmati oleh rakyatnya dengan cara harga murah untuk rakyat dan harga yang menguntungkan untuk diekspot. Minyak itu tidak lagi menjadi nikmat apabila semuanya dijual dan terpaksa menanggung harga yang tinggi sama saja dengan wilayah yang tidak berminyak. Oleh kerana lebih untung semua minyak kita dijual dan untuk kegunaan tempatan terpaksa membeli minyak asing yang murah sekalipun kurang bermutu. Malangnya kerajaan Malaysia menjual semua minyak dengan harga tinggi, beli minyak dunia yang lebih murah, tetapi menjualnya kepada rakyat seolah-olah Malaysia adalah pengimpot minyak.
Jika harga minyak tempatan terkawal dan stabil, maka sudah tentu inflasi terkawal, peniaga dan pengusaha tidak menggila menaikkan barang. Kalaupun ada barang yang mahal adalah barangan yang diimpot. Naiklah harga minyak dunia sampai USD110 setong sekalipun, kalau harga minyak stabil dan terkawal, nescaya kesan dunia tidak begitu menekan penduduk tempatan. Rakyat tidak perlu membeli ayam lebih dari RM6.50 sekilo (banyak lagi contoh lain).
Jika minyak tempatan terus menerus lebih bermutu dari minyak asing, maka Malaysia akan menikmati pulangan yang lumayan dari jualan kesemua minyak dan terpaksa membeli minyak mengikut harga dunia. Maka wajarlah harga minyak dalam negara distruktur semula bagi membolehkan penduduk tempatan terasa mereka adalah rakyat dari negara pengeluar minyak. Dan rakyat tidak wajar menanggung beban dari krisis harga minyak dunia.
Pada ketika yang sama rakyat ingin melihat wujudnya sebuah kerajaan yang berupaya melahirkan teknologi yang boleh menghasil bahan bakar alternatif supaya jentera di negara ini tidak bergantung 100 peratus kepada minyak petrol dan diesel. Kiranya minyak sawit dapat diproses untuk kegunaan kenderaan dan kilang, maka tekanan yang dihadapi dunia atas kenaikan minyak, tidak begitu menekan sausana negara.
No comments:
Post a Comment