Sunday, 15 April 2012

Bermuhasabah Dengan Bala


Bermula dengan gempa bumi dan tsunami di pesisir pantai barat Aceh mengorban ratusan ribu jiwa di Aceh sehari selepas hari Natal tahun 2004, diikuti oleh gegaran di Pulau Nias mengorbankan ratusan jiwa serta puluhan gegaran yang menyusul sejak tsunami hingga sekarang, dan yang terbaru kejadian gempa bumi beberapa hari lalu.
Maka selepas nahas tsunami itu entah berapa kali sudah penduduk Aceh khasnya dan orang-orang Sumatera berduyun-duyun melarikan diri ke kawasan tinggi setiap kali berlaku gegaran. Setelah dipastikan tsunami tidak berlaku, beberapa jam kemudian barulah masing-masing berani balik ke rumah.

Sudahlah harta benda hampir semuanya musnah, berapa kali dan berapa lama lagi penduduk Indonesia di pantai barat Sumatera itu harus berhadapan dengan igauan tidak tentu tidur dan ketakutan?

Secara kajian geografisnya malang dan bencana itu dihadapi oleh Indonesia dan kawasan yang sebaris dengannya ialah kerana ia terletak di garis laluan gempa bumi. Gempa tadi akan terjadi dari semasa ke semasa, bila-bila masa, tidak diketahui masa dan ketikanya. Atas kehendak Allah ia tidak berlaku dan atas kehendak Allah juga ditakdirkan bergoncang.
Dunia mengiranya ia adalah bencana alam. Orang-orang beriman bersetuju ia adalah balasan Allah atas angkara kejahatan manusia. Bala adalah kehendak Allah, ditimpakan ke atas manusia yang ingkar dan bala tidak memilih yang ingkar saja, yang beriman ikut tersapu bila ia diturunkan.

Atas sebab-sebab manusia mentaati Allah dan ramai para salihan mensyukuri nikmat dan anugerahNya, Allah membiarkan zon gempa itu tidak aktif. Jika dulu kita di Malaysia ini terasa begitu asing dengan gempa bumi, tetapi sejak akhir-akhir ini, tempias gempa itu sudah mula kita rasai. Yang menghuni bangunan tinggi mula rasa takut jika ada laporan gempa bumi. Walaupun gempa itu berpusat di Indonesia, namun ada juga kemungkinan untuk ia sampai ke sini.
Bagi penduduk maksiat di kawasan bukan laluan gempa lain pula bala yang Allah turunkan.
Bala tidak turun apabila manusia beriman dan bersyukur. Tetapi jika ada sesuatu yang mencemaskan maka ia adalah ujian kesabaran kepada mereka.
Sekarang giliran Indonesia bertubi-tubi menimpa ancaman bala itu. Kerana yang bertalu-talu tepat ke atas Indonesia saja, tentulah ada amaran yang khusus ditujukan kepada bangsa itu.
Telah diterima secara umum bahawa ia adalah bala atas kesalahan manusia, maka apakah gerangan kesilapan umat Indonesia jika ia justeru kesilapannya?

Aceh berjuang mahukan sebuah kedaulatan dan kemerdekaan sendiri bagi membolehkan ia kekal sebagai wilayah Islam seperti di zaman Sultan Malikus Salleh. Tetapi apa salah Aceh maka rakyat seratus peratus Islam mengalami kiamat sebelum tiba kiamat?
Tidak cukup dengan sengsara perang antara tentera Indonesia dan pejuang GAM yang mahu Aceh merdeka, maka datang lagi sengsara tsunami. Jika ia natijah umat Aceh berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, maka tindakan yang dikenakan oleh pemerintahan Indonesia adalah ujian dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh setiap perjuangan. Perjuangan mesti diuji dengan pengorbanan.

Tetapi tidak mungkinkah semua kesengsaraan itu disebabkan oleh sikap orang Aceh sendiri yang sudah dipersetujui oleh Jakarta untuk membenarkannya mendirikan sebuah wilayah yang melaksanakan syar’iyah, tetapi Aceh berkeras mahukan kemerdekaan juga?
Antara sebuah daerah otonomi yang mendaulatkan Islam dan sebuah kemerdekaan yang belum tentu mendaulatkan Islam, yang manakah keutamaan bagi umat Aceh?

Tidakkah wilayah yang mendaulatkan Islam itu satu anugerah Allah yang juah lebih istimewa dari sebuah kemerdekaan yang tidak tegas untuk mendirikan Islam atau menerima cara hidup sekular dunia?
Maka tidak mungkinkah ia satu kemurkaan Allah, sesudah dipersetujui oleh Jakarta ia boleh melaksanakan syariah – termasuk mendaulatkan hudud – maka penyokong GAM mahukan kemerdekaan juga, sedang Aceh merdeka tidak menjanjikan kedaulatan syar’iyah? Allah menawarkan sinaran terang benderang, manusia memilih kegelapan.

Tetapi bagi Jakarta pula segala bala tadi apa pula gerangannya? Adakah kerana tindakan keras yang boleh dilihat sebagai kezaliman atau penindasan ke atas rakyat dan wilayah-wilayahnya? Adakah ia menindas? Adakah amalan rasuah yang tidak dapat dihapuskan hanya boleh dihapuskan dengan tsunami?
Atau apakah kerana tindakan terhadap ulama Abu Bakar Bashir yang didakwa memimpin Jamaah Islamiyah dan dengan jamaah itu mencernakan keganasan?
Tidak mungkinkah Abu Bakar terfitnah dan dia berada dipihak yang benar? Dan tidak mungkinkah yang terfitnah sekarang seorang pendakwah yang berada di landasan jihad? Dan tidak sedarkah masing-masing yang terfitnah sekarang adalah Jamaah Islamiyah sedang jamaah seperti itu ada dalam ajaran Islam dan ia suatu yang dituntut oleh Allah?

Dakwaan atau tuduhan terhadap Abu Bakar dan Jamaah Islam datang dari luar. Ia ciptaan Amerika dan dipersetujui dan dituntut oleh Singapura. Amerika memburu Ben Laden dan orang-orang yang dilihat sepertinya. Singapura adalah sekutu Amerika dan salah satu timbalan sheriff seliaan dari Australia.
Abu Bakar dituduh pengganas dan Jamaah Islamiyah yang dituntut oleh Islam itu juga dituduh pengganas. Tuduhan pengganas itu adalah ciptaan musuh. Ia diterima oleh umat Islam. Tidakkah mungkin tindakan ke atas Abu Bakar bukan kerana kegiatannya tetapi atas paksaan Amerika dan takutkan tekanan Amerika?

Hari ini umat Islam termasuk para pemimpinnya sangat berang apabila Islam dan orang Islam secara borong dituduh pengganas. Tetapi orang Islam tidak sensitif tentang fitnah yang menimpa Jamaah Islam dari konsep dan idealismanya.
Abu Bakar sebagai manusia boleh dikenakan apa-apa tuduhan jua jika benar kegiatannya adalah jenayah. Apa-apa jua pertubuhan boleh diharamkan jika ia bertindak untuk kejahatan. Tetapi ulama dan jamaah Islam tidak boleh difitnah. Adakah tindakan yang dikenakan terhadapnya itu adil atau satu penganiayaan?

Manusia tidak dapat menjawabnya secara tepat apa lagi masing-masing bukan nabi dan tidak siapa pun sekarang mendapat wahyu untuk mengesahkannya. Tetapi orang Islam itu dituntut bermuhasabah dan menginsafi segala kejadian alam.
Tidak bolehkah umat Islam dan bangsa Indonesia bermuhasabah kalau-kalau tindakan terhadap Abu Bakar itu antara yang mencetuskan kemurkaan Tuhan dan menurunkan bala satu demi satu. Sebelum Abu Bakar Bashir dikenali kepulauan Indonesia jarang-jarang dilanda gempa. Siri gempa yang melanda Indonesia dulu memang berkebetulan masa itulah Abu Bakar dibicarakan oleh dunia.
Kita tidak tahu apa kesalahan kita. Tetapi tidak mungkinkah setiap kejadian itu dimenungkan dan dijadikan bahan renungan ketika bermuhasabah?

Banyak lagi kesalahan kita yang perlu dililhat satu persatu. Mencari kesalahan diri itu tujuannya ialah supaya bala-bala yang menunggu itu ditangguhkan. Sekalipun gugusan pulau Indonesia itu kawasan garis gempa bumi, tetapi dengan bermuhasabah, kita mahu gempa itu tidak aktif dan gunung berapi menelan sendiri laharnya.

No comments:

Post a Comment