Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan selepas zaman penjajah Jepun. Ia juga dikenali sebagai Parti Nasionalis Melayu (PNM) atau Malay Nationalist Party. PKMM telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Penubuhan PKMM bertunjangkan matlamat utamanya iaitu memperjuangkan kemerdekaan penuh bagi Semenanjung Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan kerajaan British. Dengan itu slogannya ialah “Merdeka” dan benderanya berwarna merah putih. Selain itu PKMM juga turut berjuang untuk meningkatkan pencapaian orang-orang Melayu dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi selaras dengan kedudukan bangsa Melayu sebagai bumiputera di negara ini.